SHAH ALAM - Kementerian Perpaduan Negara melalui Arkib Negara memperkenalkan inisiatif Arkib@Sekolah dan Arkib@Komuniti bagi memupuk kesedaran sejarah, semangat patriotisme serta penghargaan terhadap warisan negara bermula peringkat akar umbi.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, matlamat utama inisiatif berkenaan bagi memupuk kesedaran sejarah, memperkukuh identiti kebangsaan dan menanam semangat cinta negara dalam kalangan murid dan pelajar.
Bertemakan 'Bermulanya Di Sini', beliau menjelaskan, Arkib@Sekolah merupakan sebahagian daripada Program Arkib Pendidikan yang membawa bahan arkib asli termasuk dokumen, gambar dan artifak sejarah terus ke persekitaran sekolah.
"Melalui pameran seperti 'Malaysia, Tanah Airku', pelajar didedahkan kepada detik-detik penting sejarah negara serta tokoh-tokoh kemerdekaan.
"Aktiviti sampingan seperti kuiz sejarah, bengkel pemuliharaan bahan arkib, teka silang kata dan sesi interaktif seperti 'Kenali Wira Kemerdekaan' menjadikan proses pembelajaran lebih menyeronokkan, bermakna dan relevan.
"Pelajar juga digalakkan meneroka, menganalisis dan menghasilkan projek berasaskan sumber arkib yang asli bagi mengasah pemikiran kritikal, kreativiti dan keupayaan berfikir secara analitik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, inisiatif Arkib@Komuniti memberi ruang kepada masyarakat untuk mengurus, mendokumentasi dan memelihara warisan sejarah serta budaya tempatan secara sukarela dan tersusun.
Aaron berkata, inisiatif tersebut mengiktiraf sebahagian besar sejarah negara khususnya naratif tempatan, tradisi lisan, adat resam dan pengalaman komuniti yang masih belum didokumentasikan secara rasmi.
"Melalui program ini, individu dan kumpulan komuniti digalak untuk membangunkan arkib mereka sendiri bagi merakam kisah, pengalaman serta warisan yang mencerminkan identiti unik sesuatu masyarakat.
"Kedua-dua inisiatif ini merupakan komitmen berterusan Kementerian Perpaduan Negara untuk memperkukuh hubungan antara rakyat dengan sejarah dan warisan negara.
"Dengan mendekatkan arkib kepada rakyat, ia menjadi pemangkin kepada generasi yang lebih berpengetahuan, berjati diri dan bertanggungjawab terhadap masa depan Malaysia yang berdaulat," ujarnya.