Pemuda OKU berdoa di kubur ibu guna bahasa isyarat undang sebak warganet

Iklan
Sebuah video menyentuh hati memaparkan seorang pemuda OKU pekak dan bisu sedang menziarahi pusara ibunya tular di media sosial.

SHAH ALAM - Sebuah video menyentuh hati yang memaparkan seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu menziarahi pusara ibunya tular di media sosial.

Rakaman yang dikongsi ibu saudaranya, Hasmalina Ahmad, 40, menunjukkan Hafizi Hamdan, 25, membaca doa dalam bahasa isyarat di sisi kubur ibunya, Salawati Ahmad.

Iklan
Iklan

Menurut Hasmalina, Hafizi yang merupakan anak kepada arwah kakaknya sering menziarahi kubur ibunya, terutama pada setiap hari Jumaat, di Tanah Perkuburan Islam Mahang, Kampung Pantai di Seremban, Negeri Sembilan.

“Saya, ibu dan Hafizi ziarah kubur arwah bersama-sama pada petang Khamis lalu. Masa nak balik ke kereta, saya ternampak dia masih membaca doa, lalu saya ambil telefon dan rakam secara spontan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Hasmalina bersama Hafizi.

Tambah Hasmalina, Hafizi seorang anak yang sangat rajin dan ringan tulang walaupun diuji dengan kekurangan sejak lahir.

Iklan

“Dia memang pekak dan bisu sejak kecil, tapi dia sangat berdikari dan faham persekitaran. Sekarang dia bantu saya berniaga di kantin sekolah di Oakland, Seremban,” katanya.

Anak sulung daripada dua beradik itu kini tinggal bersama neneknya selepas pemergian Allahyarham ibunya pada Ogos tahun lalu akibat kanser ovari.

Mengenai video tular berkenaan, Hasmalina mengakui tidak menyangka ia mendapat perhatian ramai hingga meraih hampir dua juta tontonan dan lebih 2,000 komen.

“Komen netizen kebanyakannya positif, ramai yang mendoakan dia dan tersentuh hati. Ada juga yang kata mereka ambil pengajaran, lebih menghargai ibu bapa selagi ada.

“Yang komen negatif pun ada, tapi saya tak ambil hati kerana saya kongsi pun sekadar suka-suka, tak sangka akan tular,” ujarnya.

Hasmalina berharap tularnya video itu membuka mata masyarakat tentang keistimewaan insan OKU yang tetap mampu menzahirkan kasih sayang walau dalam keterbatasan.

Katanya lagi, Hafizi amat menyayangi ibunya dan tidak pernah lupa menziarahi kubur, malah akan membersihkannya setiap kali datang.

“Dia tak cakap, tapi dia tunjuk melalui perbuatan. Doa dia, rindu dia pada mak, semua orang boleh rasa walau tiada suara,” katanya.