KLUANG – Program Sekolah Angkat Madani (SAM) diyakini mampu menjadi platform melahirkan pelajar mahir dalam bidang digital selari dengan hasrat negara menuju era berasaskan teknologi.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, inisiatif itu akan memberi penekanan terhadap pembelajaran teknologi di peringkat sekolah, sekali gus melahirkan generasi celik digital seawal usia.
“Pelajar dan murid akan diberi pendedahan menggunakan peranti digital dan aplikasi teknologi sebagai persiapan ke alam pengajian tinggi kelak.
“Sebelum ini, Perdana Menteri mengumumkan sebanyak 1,000 sekolah rendah dan menengah terlibat di bawah inisiatif Sekolah Angkat Madani. Setakat ini, KPM telah mengenal pasti 790 sekolah untuk pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Seri Kampung Tengah, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, KPM turut bekerjasama dengan Kementerian Kewangan serta peneraju industri dan korporat bagi memperkasa aspek pendigitalan termasuk bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Sebanyak 50 syarikat peneraju industri termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah menyatakan komitmen mereka. Malah, pembelajaran baharu seperti kecerdasan buatan (AI) juga akan diperkenalkan,” katanya.
Jelas beliau lagi, pelaksanaan SAM akan memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu penambahbaikan infrastruktur dan kemudahan sekolah, program akademik, latihan dan pembangunan guru, bantuan kewangan serta biasiswa.