SEPANG – Rakyat Malaysia yang selamat dievakuasi dari Iran tidak menyangka akan terkesan dengan konflik yang berlaku di negara itu buat kali kedua selepas pernah berdepan situasi sama ketika perang Iraq-Iran pada tahun 1980.
Bekas pensyarah, Suraiya Mohd Ali, 72, berkata beliau sebelum ini pernah tinggal di Iran bersama suaminya, Dr Ali R. Ebadi, 75, kira-kira 40 tahun lalu.
“Ketika itu juga berlaku perang Iran-Iraq. Saya bekerja di sana, tetapi memutuskan untuk pulang ke Malaysia kerana anak saya baru berusia dua tahun.
“Saya tidak sangka selepas empat dekad, saya mengalami perkara sama, dan kali ini lebih serius,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.
Suraiya dan suaminya yang merupakan warga Iran merupakan antara 24 individu yang berjaya dievakuasi dari Tehran, Iran oleh kerajaan Malaysia menerusi misi diplomatik kompleks oleh Wisma Putra.
Beliau berkata, situasi perang kali ini disifatkan jauh lebih mencabar berbanding konflik Iran-Iraq memandangkan beliau dan suaminya berdepan kesukaran dalam usaha untuk keluar dari Iran.
Mengulas bagaimana beliau boleh terperangkap di Iran sewaktu konflik berkenaan, Suraiya berkata beliau dan suaminya pergi ke negara tersebut pada 13 Jun lalu.
“Kami menziarahi kubur kedua-dua ibu bapa suami sambil mengunjungi saudara-mara yang berada di sana. Sepatutnya kami pulang pada 18 Jun, tetapi semua penerbangan telah dibatalkan manakala lapangan terbang ditutup.
“Selepas itu, anak saya menghantar mesej memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia dan pihak kedutaan sedang berusaha untuk mengeluarkan kami. Jadi, kami memohon bantuan mereka,” katanya.
Suraiya berkata, beliau dan suaminya menaiki bas dari Shiraz ke Tehran selama 15 jam untuk menyertai operasi evakuasi yang dikendalikan oleh Kedutaan Malaysia di Tehran.
“Pengalaman kali ini amat mencabar, namun kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat, terutama pihak kedutaan yang benar-benar menjaga kami dan bersama dari awal hingga akhir,” jelasnya.
Sementara itu, suami kepada wanita Iran, Zainab Ganoodi, 27, yang turut diselamatkan menerusi misi tersebut, Muhamad Fadhil Yusni, 33, meluahkan rasa syukur kerana dapat bertemu isterinya selepas lebih seminggu tidak dapat berhubung dengan wanita itu.
“Isteri saya yang berasal dari Mashhad, Iran pulang ke kampung halaman untuk menziarahi ibu bapanya dan terperangkap.
“Lebih seminggu saya hidup dalam kebimbangan kerana tidak tahu keadaan sebenar isteri. Setiap hari saya memantau perkembangan media, saya panik sebab tidak dapat menghubungi dia.
“Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, khususnya Kementerian Luar dan seluruh pihak yang terlibat dalam membantu isteri saya untuk keluar dari Iran, dan alhamdulillah selamat tiba di negara ini,” katanya.