DAMSYIK – Sekurang-kurangnya 20 orang maut manakala 52 lagi cedera dalam satu serangan bom bunuh diri di sebuah gereja Ortodoks Yunani di ibu negara Syria pada Ahad.
Kementerian Kesihatan Syria mengesahkan angka korban itu dalam serangan ke atas Gereja Mar Elias ketika umat Kristian sedang menghadiri upacara keagamaan.
Menurut Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Syria, penyerang disyaki anggota kumpulan pengganas Daesh (ISIS) yang melepaskan tembakan ke arah jemaah sebelum meletupkan dirinya menggunakan ves letupan.
“Suspek menembak secara rambang ke arah orang ramai sebelum meletupkan dirinya di pintu masuk gereja,” jelas kementerian dalam satu kenyataan yang dipetik oleh CNN.
Agensi berita rasmi Syria, SANA, melaporkan bahawa upacara keagamaan sedang berlangsung ketika kejadian berlaku, menyebabkan angka korban dan kecederaan meningkat.
Rakaman video yang tular di media sosial Syria memaparkan keadaan mengerikan di dalam gereja, dengan serpihan kaca, bangku kayu yang musnah dan darah bertaburan di lokasi serangan.
Pasukan pertahanan awam Syria, dikenali sebagai White Helmets, memaklumkan bahawa usaha sedang giat dijalankan untuk mengalihkan mangsa dan mengawal kawasan insiden.
“Pada hari Ahad, tangan jahat telah mengorbankan ramai jiwa tidak berdosa,” kata Patriarkat Ortodoks Yunani Antioch dalam kenyataan rasmi.
Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Geir O. Pedersen turut meluahkan rasa terkejut dan marah terhadap serangan tersebut.
“Pedersen menggesa semua pihak agar menolak keganasan, ekstremisme dan sebarang bentuk hasutan yang menyasarkan mana-mana komuniti di Syria,” kata pejabat beliau dalam satu kenyataan.
Wakil Khas Amerika Syarikat ke Syria, Thomas Barrack pula menyifatkan serangan itu sebagai satu tindakan pengecut yang tidak boleh diterima.
“Tiada tempat untuk tindakan sebegini dalam wajah baharu Syria yang kini sedang menenun semula kepelbagaian, toleransi dan kesepaduan,” katanya.
Sementara itu, beberapa negara termasuk Turkiye, Jordan, Iraq, Israel, Greece, Cyprus, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar, Arab Saudi, Pihak Berkuasa Palestin, Yaman, Oman, Bahrain, Ukraine, Austria, Belgium, Republik Czech dan Belanda turut mengecam sekeras-kerasnya serangan tersebut. – CNN