Penggunaan nama 'Islam' tertakluk kepada RoS – Exco Selangor

Iklan
Muhammad Fahmi (kanan) berucap pada program Kembara Masjid 2.0 yang berlangsung di Masjid Kampung Salak Tinggi pada Ahad

SEPANG – Penggunaan perkataan 'Islam' bagi mana-mana pertubuhan atau institusi yang tidak berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri adalah tertakluk kepada kelulusan Pendaftar Pertubuhan (Registrar of Societies-RoS).

Perkara tersebut dijelaskan Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, sebagai mengulas titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan nama Islam oleh organisasi tertentu.

Iklan
Iklan

Tegasnya, meskipun perkara itu bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, saranan Tuanku wajar dipertimbangkan demi memelihara kesucian nama Islam daripada dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mohammad Fahmi (tengah) ditemui selepas menyempurnakan majlis penutupan Program Kembara Masjid 2.0 di Masjid Kampung Salak Tinggi

Iklan

“Apa yang dicadangkan oleh Tuanku pada pandangan saya adalah sesuatu yang baik dan perlu dipertimbangkan dengan serius supaya tidak berlaku penyalahgunaan.

“Kita lihat kadangkala ada organisasi meletakkan nama ‘Islam’ tetapi di sebaliknya mempunyai agenda atau tujuan yang bercanggah dengan prinsip Islam. Ini boleh mengelirukan masyarakat,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Kembara Masjid 2.0 (KEMAS) yang berlangsung di Masjid Kampung Salak Tinggi, Jalan Jenderam, di sini pada Ahad.

Dr Fahmi menjelaskan, pertimbangan agar syarat penggunaan nama ‘Islam’ diteliti dengan lebih ketat perlu dilaksanakan oleh pihak Persekutuan, khususnya melalui RoS.

“Saya rasa memang ada asas untuk hal ini ditangani di bawah bidang kuasa Persekutuan melalui RoS,” ujarnya.

Ketika ditanya sama ada pihak Persekutuan wajar lebih tegas dalam menangani isu ini, beliau menjawab: “Pastinya. Supaya tidak disalah guna.”

Sebelum ini, Sultan Selangor menitahkan agar organisasi seperti Sisters in Islam (SIS) menghentikan penggunaan nama ‘Islam’ dalam penerbitan dan kegiatan mereka, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa fatwa tidak boleh dikenakan ke atas organisasi.

Titah baginda yang dikeluarkan melalui kenyataan rasmi pada 19 Jun lalu turut menegaskan bahawa penggunaan istilah “Islam” yang tidak menepati ajaran sebenar boleh menimbulkan kekeliruan dan mencemarkan nama baik agama.