PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kini bergerak ke arah pembudayaan 'High Performance Culture' (HPC) dengan menekankan kepentingan kesihatan tubuh, kekuatan minda dan ketenangan jiwa sebagai asas kepada budaya kerja cemerlang.
Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, untuk mencapai usaha itu, RISDA mengambil inisiatif melaksanakan Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) 'Wellness of Workers' (WOW).
“Program berkenaan memainkan peranan penting dalam menyemai nilai dan produktiviti sebenar pekerja yang tidak hanya diukur berdasarkan hasil kerja semata-mata. Ia juga diukur pada keupayaan fizikal dan emosi untuk kekal konsisten dan berdaya tahan.
“Langkah itu penting bagi merealisasikan matlamat RISDA sebagai agensi peneraju kemajuan pekebun kecil yang berprestasi tinggi,” katanya pada Program Jalan Untuk Sihat (JUS) RISDA Tahun 2025 di Taman Botani, di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Haniza Ab Shukor dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Md Najip Ishak.
Program JUS RISDA Tahun 2025 turut disertai hampir 1,000 peserta termasuk ahli keluarga warga kerja RISDA, sebagai sokongan kepada seruan kerajaan untuk mengamalkan gaya hidup sihat.
Dalam pada itu, Manndzri berkata, RISDA turut memulakan pelaksanaan KOSPEN WOW dengan menubuhkan Pasukan Penyelaras dan Pelaksana di pelbagai peringkat organisasi bagi memperkasakan usaha penjagaan kesihatan warga kerja.
Katanya, antara aktiviti yang dijalankan secara berperingkat termasuk saringan kesihatan, sesi pemakanan sihat, intervensi pengurusan berat badan dan sokongan kesihatan mental, selain Program Get Fit Challenge bersama jurulatih kecergasan, Kevin Zahri di peringkat Ibu Pejabat RISDA yang berlangsung dari Jun hingga Ogos.
Manndzri berkata, sebuah organisasi yang cemerlang tidak hanya menuntut prestasi kerja tinggi tetapi juga perlu menyediakan ruang dan sokongan kepada warganya untuk menikmati kehidupan yang seimbang.
“RISDA percaya bahawa di sebalik seorang pekerja yang berdedikasi ada peranan penting sebagai pasangan, ayah, ibu dan anak yang tidak boleh diabaikan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, aktiviti seperti JUS RISDA bukan sekadar menyihatkan badan malah mengeratkan silaturahim, membina semangat berpasukan dan menyuburkan nilai kekeluargaan dalam organisasi.
“Kita mahu membentuk ekosistem kerja yang tidak hanya sihat dari sudut prestasi, malah memperkasakannya melalui sudut manusiawi,” ujarnya.