IPOH -"Adik saya hanya nampak asap tebal keluar dari bilik mak."
Demikian kata Ahmad Ikhwan Abdul Ghani, 57, anak kepada Salmiah Nyak Matt, 84, yang ditemui maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Sungai Rapat Tambahan di sini pada Khamis.
Dalam kejadian sekitar 9.15 malam itu, Salmiah yang juga ibu mentua kepada Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang bilik bahagian bawah rumah oleh pasukan penyelamat dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut Ahmad Ikhwan, sebelum kejadian, berlaku trip elektrik di kediaman dua tingkat tersebut menyebabkan bekalan elektrik terputus secara tiba-tiba.
"Adik saya yang tinggal bersama mak keluar nak tengok rumah jiran-jiran lain, ingatkan semua sekali blackout, tetapi tidak.
"Lepas itu dia nampak asap tebal keluar dari bilik mak, terus dia masuk semula dan tengok bilik dah penuh dengan asap," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian itu, suami mangsa, Datuk Abdul Ghani Ngah, 83, yang berada di bahagian bilik atas, terselamat, namun mengalami sesak nafas.
Empat lagi ahli keluarga termasuk pembantu rumah yang berada di kediaman berkenaan juga terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Ahmad Ikhwan memaklumkan, bapanya yang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh telah ditidurkan sebagai langkah mempercepatkan proses pemulihan.
"Setakat jam 1.30 pagi tadi, saya tengok ayah stabil. Dia nampak macam tidur saja,” katanya yang mengetahui kejadian itu ketika berada di Shah Alam dan bergegas pulang selepas dimaklumkan adiknya.
Anak kedua daripada lima beradik itu berkata, arwah ibunya telah lama uzur dan tidak lagi mampu bergerak sendiri.
"Mak dah lama uzur, memang terlantar. Bilik bawah memang khas untuk dia sebab dia dah tak boleh naik tangga. Ada pembantu rumah yang jaga mak 24 jam," katanya.
Kali terakhir beliau bertemu arwah ibunya ialah seminggu sebelum Aidiladha lalu.
Jenazah Salmiah dibawa ke Masjid Jamek Kampung Melayu Sungai Rapat untuk disolatkan dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya selepas solat Jumaat.