Kerajaan pertimbang benarkan guna Akaun 2 KWSP untuk bayar insurans kesihatan

Iklan
Dr Dzulkefly.

SHAH ALAM – Kerajaan Madani bersedia mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan simpanan Akaun 2 bagi membiayai premium insurans kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 16 juta ahli KWSP bagi mendapatkan perlindungan kesihatan yang lebih komprehensif, termasuk akses kepada rawatan di hospital swasta.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, pendekatan tersebut telah diguna pakai di beberapa negara sebagai usaha untuk memastikan majoriti rakyat mendapat perlindungan insurans yang mencukupi.

“Ketika ini, sebanyak 32 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan penjagaan kesihatan di negara ini ditanggung sendiri oleh pesakit dan bukannya dilindungi oleh mana-mana skim insurans.

Iklan

“Justeru, inisiatif ini boleh menjadi penyelesaian jangka panjang dengan membenarkan pencarum menggunakan sebahagian kecil caruman mereka untuk tujuan perlindungan kesihatan,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama media, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly menegaskan bahawa skim berkenaan tidak akan diwajibkan, sebaliknya diberikan sebagai satu pilihan kepada pencarum.

Iklan

“Satu peratus pun cukup, ia sangat kecil dan tidak membebankan. Duit itu bukan keluar daripada poket mereka, tetapi daripada simpanan KWSP.

“Ini merupakan langkah terbaik ke arah memastikan rakyat mendapat perlindungan asas yang setara seperti di Singapura, walaupun kita tidak akan memaksa seperti sesetengah negara lain,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata skim baharu itu akan menawarkan pilihan yang lebih luas berbanding program i-Lindung sedia ada, memandangkan i-Lindung hanya meliputi keilatan, penyakit kritikal dan perlindungan hayat.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut akan melancarkan satu inisiatif baharu dikenali sebagai ‘Rakan KKM’ bermula suku ketiga tahun ini.

“Sebagai contoh, terdapat kemudahan kesihatan di hospital seperti Putrajaya dan Cyberjaya yang mempunyai kapasiti lebihan, termasuk bilik pembedahan dan katil yang tidak digunakan kerana kekurangan kakitangan.

“Kita mahu manfaatkan lebihan kapasiti ini dengan kerjasama sektor swasta,” katanya.

Setakat ini, empat hospital dikenal pasti bagi peringkat awal pelaksanaan iaitu Hospital Cyberjaya, Hospital Putrajaya, Hospital Serdang dan Institut Kanser Negara (IKN).

“Langkah ini juga secara tidak langsung membuka lebih banyak ruang kepada pesakit daripada golongan B40 serta penjawat awam untuk menerima rawatan di fasiliti kerajaan.

“Ini adalah antara asas kepada sistem kesihatan hibrid yang ingin kita bangunkan,” ujarnya.

Tambah beliau, sebanyak 40 hospital awam melibatkan kapasiti keseluruhan 800 katil dikenal pasti untuk menyertai inisiatif Rakan KKM secara berperingkat, dengan anggaran peruntukan sebanyak RM85 juta termasuk suntikan dana RM25 juta menerusi Belanjawan 2025.