KUALA LUMPUR – Kegiatan pelupusan buangan elektronik secara haram dikesan berselindung di kawasan pedalaman dan terpencil antara yang dibongkar menerusi serbuan melibatkan 57 premis dalam Op Bersepadu Hazard 2.0 di seluruh negara, 16 Jun lalu.
Lebih mengejutkan terdapat premis yang ditutup awal ketika serbuan dijalankan dipercayai akibat ketirisan maklumat awal berkaitan operasi itu.
Bagaimanapun, tindakan itu gagal apabila sejumlah rampasan bernilai RM504 juta terdiri daripada e-waste, komponen lusuh dan barang mentah atau separa proses berjaya dirampas menerusi serbuan berkenaan.
Operasi serentak di seluruh negara ini melibatkan 1,582 pegawai dan anggota daripada agensi antaranya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Imigresen Malaysia, Suruhanjaya Tenaga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi secara besar-besaran yang turut dijalankan bersama 12 agensi itu melibatkan serbuan sebanyak 57 premis di seluruh negara.
Beliau berkata, antara lokasi terlibat adalah di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan beberapa negeri lain.
"Serbuan melibatkan pemeriksaan seramai 916 individu, 453 individu terdiri daripada 383 lelaki, 70 wanita dan seorang kanak-kanak telah ditahan.
"Kesemua individu yang ditahan terdiri daripada pendatang asing tanpa izin (PATI), warga asing dan individu serta individu yang dalam proses pengesahan status," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Khamis.
Katanya, operasi dijalankan ini berjaya merampas pelbagai barangan termasuk bahan lusuh, komponen logam, barangan mentah dan terproses.
"Kita jangka jumlah rampasan akan semakin meningkat selepas beberapa penilaian dijalankan agensi terlibat.
"Selain itu, semakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut mengesahkan bahawa cukai tidak dibayar oleh beberapa pemilik premis terlibat dalam operasi ini boleh mencecah sehingga RM500 juta," katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati premis yang diserbu menerima bahan buangan elektronik dalam keadaan mencurigakan dan ada yang dibayar untuk menerima bahan mentah itu.
"Hasil rampasan berjumlah kira-kira RM504 juta, termasuk e-waste, komponen lusuh dan barang mentah atau separa proses yang dianggarkan bernilai RM32 juta," katanya.
Katanya lagi, sejak Januari 2024 hingga kini, sebanyak 167 premis telah diserbu dalam pelbagai siri operasi terdahulu, dan seramai 1,061 individu telah dikenakan tindakan.
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, jumlah keseluruhan nilai e-waste yang terlibat sejak tahun lalu berkemungkinan mencecah RM5 bilion.
"Ada premis yang menerima e-waste tanpa permit, memproses bahan buangan tersebut dan menghasilkan jongkong timah untuk dijual pada harga tinggi," katanya.
Azmi berkata, pihak berkuasa turut menemui simpanan mercun dan bunga api tanpa lesen bernilai RM8 juta di sebuah premis yang diserbu di Pulau Pinang.
Beliau turut memaklumkan berlaku kemungkinan ketirisan maklumat operasi berdasarkan risikan yang dijalankan, apabila beberapa premis disyaki menutup operasi lebih awal daripada waktu serbuan.
"Kita percaya maklumat bocor kepada pihak tertentu, sasaran operasi sepatutnya lebih besar.
"Oleh itu, kita akan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam perancangan operasi pada masa akan datang," katanya.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam jenayah alam sekitar, khususnya yang menjejaskan keselamatan negara dan kesihatan awam.