Bakal pengantin lemas ketika memancing

Iklan
Mayat Muhammad Mustakim ditemui pada jam 3 petang pada Rabu oleh seorang penternak lembu. - Foto: PDRM, SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

PASIR PUTEH – Seorang kaki pancing yang ditemukan lemas di Sungai Kampung Tualang Tinggi di sini pada Rabu difahamkan bakal melangsungkan perkahwinan pada Oktober ini.

Mangsa, Muhammad Mustakim Hussein, 27, yang bekerja sebagai buruh, dilaporkan keluar memancing bersama dua rakan sekitar jam 7 malam pada Selasa.

Iklan
Iklan

Menurut abangnya, Muhammad Yusoff, 32, bakal isteri adiknya yang menetap di Machang pengsan selepas dimaklumkan tentang kejadian tersebut.

“Kami diberitahu bahawa dia (bakal isteri adik) masih bersedih sehingga hari ini dan turut meminta pakaian arwah sebagai kenangan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah keluarga di Selising, pada Khamis.

Iklan

Sementara itu, rakan karib arwah, Mohd Khalid Zakaria, 29, berkata pada hari kejadian, Muhammad Mustakim kelihatan lebih banyak berdiam diri berbanding biasa.

“Dia seorang yang periang dan suka menyakat, tetapi hari itu dia banyak diam.

Iklan

“Setibanya kami di lokasi memancing, saya ajak dia duduk bersama, tetapi dia menolak. Dia memilih untuk duduk kira-kira 30 meter dari tempat saya,” katanya.

Tambahnya, kehilangan Muhammad Mustakim hanya disedari selepas seorang lelaki yang kebetulan menjala ikan di kawasan berdekatan bertanyakan keberadaan mangsa kerana hanya dua orang kelihatan sedang memancing.

“Kami kemudian pergi ke tempat Mustakim duduk memancing dan hanya mendapati joran serta barang-barang miliknya di situ. Seliparnya juga tiada.

“Pada mulanya kami ingat dia pergi ke tempat lain, namun apabila cuba menghubunginya, panggilan tidak berjawab. Kami masih tidak percaya dia terjatuh kerana arwah pandai berenang dan tiada bunyi seperti sesuatu jatuh ke dalam sungai sepanjang kami memancing,” jelasnya.

Menurutnya lagi, mereka terus mencari sehingga jam 11 malam namun gagal menemui mangsa.

Pada jam 3 petang keesokan harinya (Rabu), mereka dimaklumkan bahawa mayat Muhammad Mustakim telah ditemui oleh seorang penternak lembu di dalam sungai berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, pemeriksaan lanjut di kawasan kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah.

“Kes ini disiasat dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi talian 019-2424434 atau 09-7867222,” katanya.