Polis teruskan siasatan bunyi letupan, gegaran di Ipoh

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai siasatan polis atas dakwaan orang ramai mengenai bunyi letupan dan gegaran yang berlaku di sekitar daerah Ipoh.

IPOH – Polis meneruskan siasatan berhubung insiden bunyi letupan dan gegaran yang dirasai di beberapa kawasan sekitar daerah ini pada Rabu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pertemuan bersama agensi kerajaan dan swasta akan diadakan bagi mengenal pasti punca kejadian tersebut.

Iklan
Iklan

“Kita akan memanggil agensi berkaitan, terutamanya pengendali kuari, pakar geologi serta pasukan sahabat seperti tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana mereka mempunyai akses kepada bahan letupan.

“Justeru, kita perlukan maklum balas daripada semua pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan, mungkin dalam masa terdekat ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Perak di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Khamis.

Iklan

Menurut Noor Hisam, siasatan yang dijalankan setakat ini menolak kemungkinan kejadian berpunca daripada aktiviti kuari, gempa bumi mahupun latihan pasukan keselamatan.

“Siasatan polis mendapati tiada sebarang laporan kerosakan harta benda mahupun kemalangan jiwa atau bencana yang dilaporkan.

Iklan

“Kita masih menunggu analisis lanjut daripada agensi berkaitan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak khuatir atau bimbang dengan insiden tersebut dan boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa.

“Isu ini membabitkan keresahan umum dan kita akan menangani perkara ini sewajarnya.

“Buat masa ini, penduduk di kawasan terlibat khususnya di Ipoh diminta bertenang dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan bunyi letupan dan gegaran kuat dirasai di sekitar Klebang, Chemor, Meru Raya, Ulu Kinta, Tanjung Rambutan dan Taman Ipoh.

Untuk rekod, pada 21 Oktober tahun lalu, satu gegaran kuat turut dilaporkan berlaku di kawasan sekitar Ipoh sekitar jam 11 pagi disusuli bunyi dentuman yang kuat.

Difahamkan, kejadian ini merupakan insiden keempat selepas kali pertama direkodkan pada Jun 2012 dan 4 Oktober 2018, dengan kesemuanya berlaku pada waktu hampir sama dan punca sebenar masih belum dikenal pasti hingga kini.