TAIPING – Mahkamah Tinggi Taiping pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan denda RM80,000 terhadap seorang pemandu treler yang menyebabkan kematian empat sekeluarga dalam satu kemalangan di Sungai Siput, lima tahun lalu.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membuat keputusan tersebut terhadap Y. Vethri Vel, 31, selepas menolak rayuan tertuduh terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Majistret Sungai Siput pada Disember 2023.
“Rayuan terhadap mahkamah ditolak. Mahkamah Majistret dan Mahkamah Tinggi ini mendapati tertuduh bersalah,” ujar Hakim Noor Ruwena.
Bapa kepada dua anak itu disabitkan bersalah atas empat pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian Mohamad Faiz Bakhari, 28; isteri mangsa, Nik Iedayu Nik Hassan, 30; bayi mereka, Muhammad Faqih Irsyad, 16 bulan; dan adik ipar mangsa, Nik Ifeka Nik Hassan, 27.
Kesalahan itu dilakukan di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar dalam daerah Sungai Siput, kira-kira jam 10.20 malam pada 13 Februari 2020.
Sebelum ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) akta sama atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian. Namun, pertuduhan dipinda selepas Mahkamah Tinggi mendapati wujud keraguan munasabah terhadap sampel darah tertuduh yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Ranjit Singh Sandhu dan Faazil Rahman merayu agar mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik sahaja, dengan mengambil kira kecederaan tisu lembut yang dialami tertuduh dalam kemalangan tersebut.
Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail memohon agar hukuman setimpal dikenakan, memandangkan tindakan tertuduh memandu secara berbahaya telah mengorbankan empat nyawa, termasuk seorang anggota polis, dan meninggalkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menjadi yatim piatu.
Beliau menegaskan bahawa hukuman tersebut harus bersifat pencegahan (deterrent) agar menjadi pengajaran kepada pemandu kenderaan berat lain untuk lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna jalan raya, terutamanya ketika negara turut digemparkan dengan kemalangan maut membabitkan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebelum ini.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi setiap pertuduhan yang berjalan serentak bermula 13 Jun 2025. Tertuduh juga dikenakan denda RM20,000 bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah keseluruhan denda RM80,000. Kegagalan membayar denda boleh menyebabkan penjara tambahan selama tiga bulan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh hilang kelayakan untuk memegang lesen memandu selama tiga tahun dari tarikh sabitan, dan butiran sabitan hendaklah direkodkan pada lesen memandu tertuduh.
Pihak pembelaan memaklumkan akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Dalam kejadian pada 2020 itu, Mohamad Faiz, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, maut bersama tiga ahli keluarga apabila kereta Proton Saga BLM yang mereka naiki dirempuh treler di Jalan Ipoh-Kuala Kangsar.
Anak sulung mangsa, Muhammad Fariz Iskandar, 3, mengalami kecederaan parah dalam kejadian tersebut.
Difahamkan, semua mangsa baru selesai menikmati makan malam bersama di sebuah restoran dan sedang dalam perjalanan pulang ke Kompleks Perumahan PDRM Sungai Siput sebelum nahas berlaku.
Siasatan awal mendapati, treler yang membawa muatan bahan binaan dari arah Ipoh hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh kenderaan mangsa, sebelum muatan kenderaan berat itu menghempap kereta berkenaan.