ISU membabitkan 49 jemaah dari Sabah yang gagal memasuki Makkah kerana tiada visa haji, namun tetap meneruskan perjalanan selepas 14 Zulhijah baru-baru ini mencetuskan pelbagai persoalan.
Masakan tidak, agensi pelancongan mendakwa ibadah haji jemaah berkenaan sah meskipun tidak sempat wukuf di Arafah memandangkan ketika itu umat Islam lain sudah pun selesai menunaikan segala rukun haji.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil tampil menjelaskan salah faham tersebut.
“Apabila seseorang yang telah berniat ihram haji atau umrah tidak dapat menyempurnakan ibadah itu kerana dihalang oleh sesuatu (seperti halangan Kerajaan Arab Saudi kerana ketiadaan visa haji) daripada menyempurnakan rukun-rukun haji atau umrah dengan sebab-sebab seperti adanya musuh atau sakit atau terpisah daripada rombongan atau lain-lain dinamakan sebagai al-Muhsar,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada Selasa.
“Caranya adalah dengan menyembelih kambing (atau berkongsi satu pertujuh bahagian daripada unta atau lembu), kemudian bercukur (atau bergunting sekurang-kurangnya tiga helai rambut) bersama niat tahalul dengan kedua-duanya,” katanya.
Perkara itu selari dengan firman ALLAH SWT: “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana ALLAH; maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahalul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahalul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.” (Surah al-Baqarah: 196)
Ujar Ustaz Ahmad Fauwaz, ayat itu diturunkan pada tahun keenam Hijrah iaitu tahun Perjanjian Hudaibiyah ketika kaum Musyrikin menghalang Rasulullah SAW dan para sahabat daripada memasuki Makkah dan Baitullah.
“Demikian menurut Imam Ibnu Kathir. ALLAH SWT memberi rukhsah kepada mereka agar menyembelih binatang dan bertahalul dengan bercukur.
“Lantaran itu, Baginda pulang semula ke Madinah dan datang kembali pada tahun berikutnya untuk umrah qada, manakala haji ditunaikan Baginda pada tahun ke-19 Hijrah yang dikenali sebagai Haji Wada’,” katanya.
Sekiranya jemaah itu tidak mampu bersedekah makanan, jelas beliau lagi, mereka hendaklah berpuasa sehari bagi setiap cupak makanan berkenaan.
“Kemudian, boleh bertahallul ketika itu juga tanpa menunggu puasanya berakhir,” ungkapnya.
“Ini kerana mereka sudat terikat dengan kontrak ihram. Meskipun begitu, mereka tetap mendapat pahala atas niat ibadah yang hendak dikerjakan di sisi ALLAH SWT,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan bakal jemaah haji agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pakej tawaran menunaikan haji oleh mana-mana agensi pelancongan yang meragukan.
“Ambillah pendekatan untuk semak identiti dan status pelaksanakan sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berdaftar di bawah Lembaga Tabung Haji (TH). Jangn terburu-buru membuat pembayaran tanpa usul periksa,” katanya.
Bagi agensi pelancongan pula, beliau menitipkan pesanan agar tidak melakukan eksploitasi pakej haji atau umrah ditawarkan.
“Agensi pelancongan yang sengaja mengambil kesempatan atas keinginan suci umat Islam untuk menunaikan ibadah haji telah melanggar prinsip amanah dan tanggungjawab sosial dalam Islam. Segeralah bertaubat dan kembalikan semula hak para jemaah yang menjadi mangsa.
“Ingatlah, perbuatan itu sangat tercela di sisi syarak dan perlu diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa,” katanya.