Polis tingkat tahap keselamatan di Johor

Iklan
M. Kumar

JOHOR BAHRU – Penugasan omnipresence di tujuh lokasi tumpuan sekitar bandar raya ini diaktifkan semula bermula 14 Jun lalu dalam usaha memperkukuh persepsi masyarakat terhadap tahap keselamatan di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, pendekatan itu juga selaras dengan perancangan Tahun Melawat Johor 2026 yang memerlukan jaminan keselamatan kepada pelancong, pelabur dan masyarakat setempat.

Iklan
Iklan

“Ia membabitkan kehadiran anggota di kawasan tumpuan awam secara berjalan kaki, melawat premis serta berinteraksi dengan pengunjung dan peniaga, bagi mewujudkan situasi Johor yang selamat untuk pelawat, pelabur, peniaga dan penduduk,” katanya.

Menurut beliau, fasa pertama penugasan itu telah dilancarkan di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Bazar Karat, KSL, Berjaya Waterfront, Southkey Mid Valley, Sentosa Pelangi dan Angsana Mall. Kawasan lain seperti Tampoi dan Johor Bahru Utara (JBU) turut akan dilibatkan pada masa akan datang.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Bulanan bagi bulan Jun 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, pada Rabu.

Tambahnya, buat masa ini, seramai 80 anggota polis terlibat dalam penugasan tersebut selain penugasan rutin oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda MPV.

Iklan

Mengulas lanjut mengenai waktu operasi, Kumar menjelaskan bahawa jadual penugasan adalah fleksibel dan akan disesuaikan mengikut keperluan setiap lokasi.

“Keutamaan diberikan pada waktu puncak seperti waktu bekerja, waktu rehat dan hujung minggu. Contohnya, BSI beroperasi 24 jam manakala Bazar Karat pula lebih aktif pada waktu petang, jadi kita ikut masa itu secara giliran,” ujarnya.

Setakat ini, menurutnya, tiada laporan jenayah diterima di kawasan yang diliputi inisiatif omnipresence, dan maklum balas yang diterima di media sosial juga menunjukkan penerimaan yang positif daripada orang awam.

“Kita akan teruskan penugasan ini secara berterusan sepanjang tahun dan menilai keberkesanannya dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kumar turut memaklumkan bahawa pihaknya telah menghantar permohonan rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendapatkan bantuan daripada Pasukan Polis Marin dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk memperluas penugasan ini ke kawasan yang lebih besar.

“Saya sudah berbincang dengan Pengarah KDN dan kini kita menunggu maklum balas bagi sokongan daripada unit-unit khas ini,” jelasnya.

Sementara itu, Kumar turut memaklumkan siasatan berkaitan kes penyamaran identiti dirinya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) masih diteruskan dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Beliau menyeru masyarakat agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai mesej atau permintaan mencurigakan yang diterima menerusi media sosial dan aplikasi komunikasi.

“Setakat ini, tiada suspek dikenal pasti, namun siasatan sedang aktif dijalankan. Saya ingin mengambil kesempatan untuk menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap penyamaran digital yang kini semakin canggih.

“Paling penting, jangan terburu-buru bertindak. Semak dahulu dengan pemilik sebenar sebelum membuat sebarang keputusan. Orang Malaysia memang baik hati, itu sebab ramai yang jadi mangsa. Jadi, kita perlu tingkatkan kewaspadaan dalam dunia digital ini,” ujarnya.