MELAKA - Seorang pekerja kontrak warga Bangladesh direman tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa, dipercayai mencabul kanak-kanak perempuan lima tahun di sebuah rumah di Taman Malim Jaya, di sini pada Ahad lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari bermula Selasa sehingga Isnin ini.
Sumber berkata, perbuatan jahat lelaki itu terbongkar selepas mangsa yang sedang bermain di ruang tamu mengadu kepada ibunya berusia 41 tahun dalam keadaan menangis.
Menurutnya, mangsa menceritakan dia mengalami sakit di bahagian kemaluan didakwa dilakukan suspek yang ketika itu datang ke rumah mangsa untuk melakukan kerja-kerja pemasangan jaring di ruang tamu rumah.
"Mangsa mendakwa suspek membuka seluar mangsa dan cuba merogolnya selain suspek menyuruh mangsa menjilat kemaluannya.
"Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan sepasukan anggota polis dari Cawangan D9 dan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menahan suspek," katanya.
Jelasnya, suspek yang ditahan di rumahnya di Batu Berendam, di sini kira-kira jam 4 petang Isnin bagaimanapun tidak mengaku terlibat dalam kes tersebut.
"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia negatif dadah dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017," ujarnya.