PUTATAN - Seorang suri rumah hanya mampu melihat rumahnya musnah dalam kebakaran melibatkan lapan kediaman di Kampung Petagas, pada petang Isnin.
Mangsa, Wan Roziah Wan Yahya, 45, berkata, kejadian disedarinya apabila ternampak kepulan asap tebal dari salah sebuah rumah berdekatan.
Menurutnya, tanpa berfikir panjang dia terus keluar dari rumahnya untuk melihat apa yang terjadi, sekali gus menyelematkan diri.
"Saya sempat bergegas ke rumah ibu yang terletak bersebelahan untuk membawanya keluar. Saya langsung tidak sempat menyelamatkan apa-apa, termasuk dokumen pengenalan diri.
"Ketika itu, suami sedang bekerja. Saya tidak tahu mahu buat apa. Saya bingung dan hanya mampu menangis melihat api marak memusnahkan rumah kami yang didiami empat beranak," katanya kepada Sinar Harian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sri Putatan, pada Selasa.
Seorang lagi mangsa, Mohd Khairul Albi, 45, berkata, kejadian menyebabkan dia meninggalkan makanan tengah hari yang sedang dinikmatinya lalu bergegas menyelamatkan isteri dan anak-anaknya.
"Anak saya sedang tidur dan isteri pula berehat di dalam rumah. Saya segera membawa mereka keluar apabila melihat api mula merebak ke arah rumah kami.
"Tiada apa yang sempat diselamatkan, termasuk beberapa unit komputer pelanggan yang saya baiki di rumah. Semuanya hangus. Tetapi saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak selamat daripada menjadi mangsa," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya memaklumkan, terdapat dua kejadian kebakaran dilaporkan di daerah berkenaan.
"Secara keseluruhan, seramai 27 keluarga terjejas dalam dua insiden berasingan di Kampung Petagas dan Bukit Vor.
"Semua mangsa kini ditempatkan di PPS memandangkan mereka tidak sempat menyelamatkan sebarang barangan peribadi," katanya.
Sehubungan itu, bantuan turut diagihkan kepada semua keluarga yang terlibat bagi membolehkan mereka mendapatkan keperluan asas.