Anggota TNI maut ditembak puak pemisah di Papua

Iklan
Mangsa secara tiba-tiba diserang oleh puak pemisah berkenaan. - Gambar hiasan

JAKARTA - Seorang anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) Angkatan Darat, Sarjan Segar Maulana terbunuh dalam satu insiden serangan oleh kumpulan pemisah bersenjata di Kepulauan Papua pada Isnin.

Mangsa yang bertugas sebagai anggota kesihatan di Markas Komando Daerah Militer (Kodim) 1715/Yahukimo ditembak ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar bekalan ubat dari Hospital Umum Daerah (RSUD) Dekai ke markas tentera.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua Penerangan TNI-AD, Brigedier Jeneral Wahyu Yudhayana, kejadian tragis itu berlaku di Jambatan Kali Biru, Seradala, Daerah Dekai, kira-kira jam 10.45 pagi waktu tempatan, ketika mangsa secara tiba-tiba diserang oleh sekumpulan anggota Organisasi Papua Merdeka (OPM) yang dipercayai sedang menunggu di lokasi.

“Ketika kejadian, mangsa dalam misi kemanusiaan – membawa ubat untuk rakan setugas yang sakit.

Iklan

"Namun beliau diserang secara kejam dan tidak berperikemanusiaan,” katanya kepada media.

Serangan itu bukan sahaja mengorbankan seorang anggota tentera, malah turut dianggap sebagai tindakan pengganas oleh pihak TNI yang mengecam keras insiden berkenaan.

Iklan

Jelas Wahyu lagi, insiden itu menambah senarai kekejaman berterusan yang dilakukan oleh kumpulan pemisah bersenjata di wilayah bergolak itu.

“Sasaran mereka kini bukan hanya anggota keselamatan, bahkan orang awam turut menjadi mangsa.

"Ini adalah satu bentuk tindakan keganasan dan tidak boleh dibiarkan,” tegasnya.

Beliau turut memberi jaminan operasi besar-besaran sedang dijalankan untuk memburu pihak bertanggungjawab dan menegaskan tiada ruang toleransi terhadap sebarang bentuk keganasan di bumi Papua.

“Kami tidak akan membiarkan keamanan rakyat Papua terus digugat oleh golongan ekstremis bersenjata.

"Mereka perlu dihadapkan ke muka pengadilan," kata Wahyu lagi.

Mengulas lanjut, TNI menyatakan bahawa kejadian ini sama sekali tidak akan melemahkan semangat perjuangan anggotanya.

“Kami akan terus berdiri teguh bersama rakyat Papua, bukan sahaja menjaga kedaulatan negara, malah menyokong pembangunan kesejahteraan dan kemanusiaan di wilayah ini.

“Pengorbanan Serka Maulama adalah lambang keberanian dan dedikasi seorang prajurit sejati,” tambahnya.

Sehingga kini, identiti suspek masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan oleh pasukan keselamatan.