SEPANG – Penyelarasan kawalan keselamatan bagi ketibaan dan pergerakan delegasi, prosedur operasi standard (SOP) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta langkah-langkah keselamatan menyeluruh merupakan antara perkara utama yang dibincangkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama dua pasukan keselamatan utama negara.
Perbincangan ini adalah sebagai persiapan bagi persidangan 21st Principals Meeting of the ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 28 hingga 30 Oktober depan.
Menurut kenyataan SPRM, bahagian keselamatan agensi itu telah mengadakan satu kunjungan hormat strategik ke atas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) KLIA dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA sebagai langkah awal memperkukuh kerjasama keselamatan bagi penganjuran mesyuarat berprestij itu.
"Sebagai tuan rumah 21st ASEAN-PAC Meeting, SPRM akan menerima kehadiran Ketua-Ketua Agensi Antirasuah dari negara-negara ASEAN serta wakil organisasi antarabangsa.
“Mesyuarat ini merupakan platform penting untuk memperkukuh jaringan strategik serantau dalam memerangi jenayah rasuah,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Antara agenda utama persidangan ialah pembentangan dan pemuktamadan ASEAN-PAC Action Plan 2026–2029, sebagai kesinambungan kepada pelan terdahulu bagi tahun 2023–2025.
Pelan tindakan ini bakal menjadi dokumen rujukan utama dalam memperkukuh hala tuju bersama ke arah integriti dan ketelusan serantau.
Pada masa yang sama, beberapa program sampingan turut dirancang seperti sesi dialog interaktif dan bengkel pembangunan kapasiti yang menyasarkan pegawai penguat kuasa dari negara anggota ASEAN.
“Komitmen ASEAN-PAC juga selari dengan kehendak Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), sekali gus mengukuhkan usaha negara-negara ASEAN dalam menggubal dasar dan undang-undang yang lebih ketat serta berkesan terhadap gejala rasuah,” jelas kenyataan itu.
Kunjungan hormat pada 11 Jun lalu bukan sahaja berfungsi sebagai medan penyelarasan logistik, malah turut memperkukuh hubungan dua hala antara SPRM, AKPS KLIA dan IPD KLIA ke arah kesiapsiagaan menyeluruh demi memastikan kejayaan penganjuran persidangan antirasuah serantau tersebut.
Delegasi SPRM diketuai oleh Pengarah Bahagian Keselamatan, Zuhairie Abu Bakar dan Ketua Cawangan Kawalan Perlindungan, Mazri Mansor.
Lawatan kerja ini turut menyaksikan sesi perbincangan berfokus antara SPRM dan dua agensi keselamatan utama negara, iaitu AKPS KLIA yang diketuai Ibrahim Mohd Yusof dan IPD KLIA yang diketuai Asisten Komisioner Azman Shari’at.