Bina struktur kewangan komprehensif tarik pelaburan tenaga hijau - Anwar

Iklan
Anwar melawat reruai Petronas pada Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Keperluan mewujudkan satu seni bina kewangan yang jelas dan koheren amat penting bagi menarik pelaburan besar ke dalam projek tenaga boleh baharu di Asia Tenggara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar yang bersifat realistik dan pragmatik juga perlu digariskan agar selari dengan keperluan semasa negara dan rantau ini.

Iklan
Iklan

“Hal ini kritikal memandangkan pada tahun 2023, Asia Tenggara hanya menerima dua peratus daripada keseluruhan perbelanjaan tenaga bersih global.

“Ini satu jurang besar, sedangkan rantau ini memiliki potensi besar dalam tenaga boleh diperbaharui daripada angin di Vietnam, kuasa hidro di Laos, solar di Malaysia hinggalah kepada tenaga geoterma di Indonesia.

Iklan

“Kami tidak menolak potensi ini, tetapi ia memerlukan pelaburan berskala besar,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Isnin.

Persidangan anjuran Petronas dengan kerjasama CERAWeek by S&P Global dan disokong oleh 52 penaja korporat itu bertemakan ‘Menyampaikan Peralihan Tenaga Asia’, serta menghimpunkan lebih 4,000 perwakilan dan 180 penceramah dari seluruh dunia.

Iklan

Anwar turut menekankan pentingnya mewujudkan struktur pelaburan yang mampu memberi keyakinan kepada sektor swasta, agar modal dari pasaran global dapat disalurkan secara berkesan ke projek-projek tenaga bersih di rantau ini.

Ujarnya, Asia tidak boleh lagi bergantung kepada pendekatan konservatif, sebaliknya perlu tampil dengan model baharu yang bersifat inklusif, adil dan mampan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, bagi mencapai sasaran pelepasan Sifar Bersih, Asia Pasifik memerlukan pelaburan sekitar AS$90 trilion (RM382 trilion) dalam sektor tenaga menjelang tahun 2050.

Menurut beliau, Asia Pasifik merupakan rantau terbesar dunia dengan populasi seramai 4.8 bilion orang, atau 60 peratus daripada penduduk global.

“Menjelang 2050, jumlah itu dijangka meningkat kepada 5.2 bilion dan rantau ini dijangka menyumbang 50 peratus daripada keseluruhan permintaan tenaga global.

“Tanpa penyertaan aktif Asia, sasaran dunia untuk mencapai Sifar Bersih akan gagal,” katanya ketika berucap dalam sesi yang sama.

Beliau turut menggariskan peranan penting syarikat minyak dan gas nasional dalam mempercepat transisi tenaga, sambil menegaskan bahawa kejayaan transformasi ini bergantung kepada kesediaan untuk menerima risiko pelaburan serta sokongan dasar kerajaan.

Energy Asia 2025 yang berlangsung selama tiga hari itu turut mengetengahkan pelbagai sesi penting termasuk Energy Park, Energy & Nature Forum, pelancaran Energy Asia Awards serta platform Future Energy Leaders.

Platform tersebut memberi ruang kepada pemimpin muda dari sektor tenaga, teknologi, kewangan dan akademik untuk membina keupayaan dalam memperkukuh masa depan tenaga mampan Asia.