Iran tegas tidak bina bom nuklear, sedia hadapi serangan Israel

Iklan
Rezaei

TEHERAN - Bekas Ketua Pengawal Revolusi Iran, Mohsen Rezaei menegaskan bahawa Iran tidak pernah, dan tidak akan, berusaha untuk membina bom nuklear.

Beliau berkata demikian pada Ahad, dua hari selepas Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran dengan tujuan memusnahkan program nuklear dan peluru berpandu balistik negara itu.

Iklan
Iklan

“Kami sedang menunggu reaksi sekutu Israel, sama ada mereka akan berundur atau tidak. Maksudnya, lebih cepat pimpinan rasional di Amerika dan Eropah bertindak, mereka mesti menarik balik sokongan mereka terhadap Israel.

“Jika perkara ini tidak berlaku, dan kami menyaksikan Amerika Syarikat serta negara-negara lain memberikan sokongan logistik kepada Israel, pesawat mereka akan memasuki ruang udara dan bertembung dengan peluru berpandu kami – sama ada ia pesawat British, Perancis atau Amerika.

Iklan

“Oleh itu, dimensi peperangan mungkin menjadi lebih serius, dan kami sedang bersiap sedia untuk menghadapi situasi tersebut. Namun, kami sentiasa berusaha untuk tidak menjadi pencetus, tetapi kami akan menjadi pihak yang mengakhirinya,” katanya.

Serangan terbaharu antara kedua-dua pihak turut berlaku beberapa jam sebelum kenyataan Rezaei dibuat.

Iklan

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa serangan tersebut telah menjejaskan program nuklear Iran, mungkin untuk tempoh beberapa tahun, sambil menolak gesaan antarabangsa agar bertindak dengan lebih berhemah.

Dalam masa yang sama, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memuji tindakan Israel dan memberi amaran kepada Iran bahawa serangan lebih dahsyat mungkin menyusul.

Trump berkata, masih belum terlambat untuk menghentikan kempen ketenteraan Israel, tetapi hanya jika Tehran bersetuju untuk mengurangkan secara drastik program nuklearnya dalam rundingan dengan Washington yang asalnya dijadualkan pada Ahad.

Bagaimanapun, Iran membatalkan rundingan tersebut selepas serangan mengejut Israel yang mengorbankan sekurang-kurangnya 224 orang, dengan 90 peratus daripadanya adalah orang awam.

Rezaei turut menegaskan bahawa Iran sedang menunggu pendirian sekutu Israel dalam konflik ini dan sedang membuat persiapan menghadapi sebarang kemungkinan. - Agensi/Awani