TEHERAN - Israel mendakwa berjaya menguasai ruang udara Iran hampir sepenuhnya dalam gelombang serangan udara hari ketiga pada Ahad, yang menyasarkan lebih ramai pegawai kanan keselamatan negara itu.
Dalam masa yang sama, beberapa peluru berpandu Iran dilaporkan berjaya melepasi sistem pertahanan udara Israel. Kedua-dua negara kini saling mengancam untuk melancarkan lebih banyak serangan balas.
Kementerian Kesihatan Iran dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, seramai 224 orang telah terkorban sejak serangan Israel bermula pada Jumaat lalu.
Dalam pada itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, sekiranya Israel menghentikan serangan, maka Iran juga akan menghentikan tindak balas.
“Amerika Syarikat adalah rakan dalam serangan ini dan perlu memikul tanggungjawab,” tegas beliau.
Letupan turut dilaporkan kedengaran di beberapa lokasi lain di Iran awal pagi Ahad, namun tiada angka korban baharu dikeluarkan setakat ini.
Pada hari sebelumnya, Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan seramai 78 orang terkorban dan lebih 320 lagi cedera.
Sementara di Israel, perkhidmatan kecemasan Magen David Adom memaklumkan, serangan peluru berpandu Iran sepanjang malam dan pagi Ahad telah mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang.