TAIPING - Sebanyak tujuh pasukan, termasuk dua dari Jerman dan Taiwan, menjayakan Festival Pancaragam Belia Antarabangsa 2025 di Taman Tasik Taiping di sini pada Ahad.
Program yang berlangsung selama dua hari itu menggabungkan elemen seni, muzik, dan pasar yang sinonim dengan bandar warisan yang sarat dengan nilai budaya.
Penyertaan melibatkan pasukan daripada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Hua Lian, Sekolah Tinggi Hua Lian, Sekolah Menengah Kebangsaan King Edward VII, Taiping; SMJK Nan Hwa, Sitiawan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah.
Manakala, pasukan dari Taiwan disertai oleh Taipei Jing Mei Girls High School dan The Marktoberdorf Youth Wind Orchestra pula dari Jerman.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, penyertaan sekolah berkenaan merupakan salah satu usaha untuk memperkasakan pelajar dengan mempamerkan kemahiran dan keyakinan diri.
Menurut beliau, acara itu juga menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan persahabatan antara belia tempatan dan antarabangsa.
"Apa yang penting adalah kita telah pun membawa dunia ke Taiping dan sudah sampai masa kita juga akan membawa Taiping ke mata dunia.
"Pada masa sama, kita memberikan satu tempat, satu peluang kepada anak-anak kita untuk mempersembahkan bakat masing-masing," katanya kepada pemberita di sini.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping, Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, festival itu merupakan satu inisiatif untuk meraikan perpaduan, kreativiti dan semangat belia melalui seni persembahan pancaragam.
"Seni ini bukan sahaja mengajar disiplin dan kerjasama, malah berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan negara dan budaya.
"Taiping dikenali sebagai bandar warisan yang kaya dengan sejarah, malah diiktiraf sebagai Bandar Mesra Warga Emas pertama di negara ini," katanya.