Polis 'gegar' pusat hiburan saji tarian Bollywood

Iklan
Antara wanita warga asing merupakan penari yang diperiksa semasa serbuan polis di ibu negara pada Ahad.

KUALA LUMPUR – Sebuah pusat hiburan berkonsepkan 'Bollywood' yang menyajikan tarian wanita warga Bangladesh dan Nepal di sebuah bangunan di Jalan Munshi Abdullah, di sini diserbu polis pada Ahad.

Serbuan Op Noda yang bermula kira-kira jam 2 pagi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hasil maklumat dan risikan.

Iklan
Iklan

Serbuan melibatkan enam premis yang berada di tingkat berasingan.

Selepas menyedari kehadiran pihak polis, ada antara pelanggan bertindak melarikan diri, manakala penjaga premis pada awalnya enggan memberi kerjasama untuk membuka pintu.

Polis menjalankan pemeriksaaan ke atas premis hiburan ala bollywood yang diserbu pada Ahad.

Iklan

Tinjauan Sinar Harian di beberapa premis mendapati terdapat 'tabung' lengkap dengan nama penari wanita yang dipercayai digunakan sebagai tempat pelanggan memberikan tip.

Seorang pelanggan warga Pakistan berusia lingkungan 40-an mendakwa dia sering mengunjungi premis terbabit pada setiap hujung minggu.

Iklan

“Saya dan kawan datang untuk lepak minum sahaja. Mahu tengok wanita ini menari sahaja,” katanya sambil memaklumkan bahawa dia pernah diperiksa dan berdepan situasi serbuan sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, operasi tersebut telah memeriksa seramai 36 wanita terdiri daripada 31 warga Bangladesh serta lima warga Nepal yang merupakan penari di premis berkenaan.

Katanya, pemeriksaan turut dilakukan terhadap 38 pelanggan di setiap tingkat, membabitkan warga tempatan, Bangladesh, Nepal, Pakistan dan India.

Pentas yang digunakan penari ditempatkan di setiap premis.

“Sepanjang operasi, kita telah menahan lapan warga asing berusia lingkungan 20 hingga 40-an termasuk seorang wanita atas kesalahan imigresen. Ada antara tangkapan ini dipercayai merupakan pengurus, pekerja serta pelanggan,” katanya.

Tambahnya, pusat hiburan berkonsepkan Bollywood itu beroperasi bermula jam 9 malam setiap hari, dengan purata pendapatan setiap pekerja dianggarkan antara RM1,800 hingga RM2,000 sebulan.

Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk siasatan lanjut.