SHAH ALAM – Sistem baharu pangkalan data pemandu pengangkutan awam yang akan dibangunkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) dijangka dapat membantu pengusaha bas dalam menyaring calon pekerja dengan lebih berkesan.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM), Mohamad Nazri Md Yusof berkata, sistem tersebut penting khususnya dalam memilih pemandu yang mempunyai rekod kerja cemerlang serta mengelakkan pengambilan individu berdisiplin rendah atau yang mempunyai rekod kesalahan lalu lintas yang tinggi.
Menurutnya, dengan adanya sistem yang memberi akses terus kepada pengusaha bas, proses pengambilan pemandu dapat dijalankan dengan lebih cekap, sekali gus menjimatkan masa dan kos.
“Sistem ini juga memudahkan pemantauan prestasi pemandu, termasuk mengenal pasti individu yang memerlukan latihan tambahan serta berpotensi meningkatkan imej syarikat sekiranya tiada insiden kemalangan serius berlaku akibat kecuaian pemandu.
“Kami menyokong penuh serta amat mengalu-alukan cadangan daripada MOT untuk membangunkan sistem tersebut serta mewajibkan pemasangan Speed Limiting Device (SLD) pada semua kenderaan berat termasuk bas ekspres dan persiaran sebagai antara langkah mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap berlaku ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, MOT mengumumkan akan membangunkan satu sistem pangkalan data melibatkan semua pemandu pengangkutan awam termasuk bas ekspres dan persiaran.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pangkalan data tersebut akan dibangunkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memudahkan pihak berkuasa menyemak rekod lampau pemandu bermasalah, sekali gus menyenarai hitam mereka daripada terus mengoperasikan kenderaan awam.
Mohamad Nazri berkata, PBEM turut mendukung usaha MOT dalam mewajibkan pemasangan SLD pada setiap bas untuk beroperasi, selain daripada pemasangan sistem GPS yang telah diwajibkan ketika ini.
“Pemanduan melebihi had laju merupakan salah satu faktor utama kemalangan jalan raya yang berlaku, terutama kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa.
“Justeru, pemasangan SLD pada unit kawalan elektronik (Electronic Control Unit, ECU) pada setiap bas dengan spesifikasi utama tidak boleh dipadam atau dimatikan sudah tentu dapat mengawal pemandu daripada memandu melebihi had laju secara automatik,” katanya.
Menurut beliau, PBEM amat komited dalam usaha membantu kerajaan meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam, khususnya perkhidmatan bas ekspres, lebih-lebih lagi yang melibatkan keselamatan penumpang.
“PBEM sentiasa menasihati ahli-ahli untuk tidak hanya melihat kepada keuntungan syarikat tetapi hendaklah memberikan keutamaan kepada keselamatan penumpang serta pemandu dengan mematuhi segala undang-undang, peraturan dan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya.