KEMASUKAN drama dan filem digital luar negara melalui platform penstriman kini dilihat semakin membimbangkan apabila sebahagian kandungannya mengandungi unsur songsang yang bercanggah dengan agama, nilai dan budaya masyarakat Malaysia.
Dianggarkan sekitar lima daripada 10 kandungan digital asing yang ditawarkan menerusi platform penstriman secara purata mempunyai elemen sedemikian, sekali gus menimbulkan kebimbangan apabila ia boleh diakses dengan mudah oleh pelbagai lapisan umur termasuk kanak-kanak dan remaja.
Pendedahan elemen lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) dalam kandungan itu dibimbangi memberi pengaruh terhadap pembentukan jati diri kanak-kanak serta remaja.
Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) menyuarakan kebimbangan sekiranya tayangan berunsur negatif dipaparkan secara berterusan melalui drama dan filem luar negara akan dinormalisasikan oleh masyarakat berikutan beberapa filem yang tidak ditayangkan di pawagam negara kemudiannya tersedia ditonton melalui platform penstriman.
Pada masa sama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar literasi digital mahupun agensi kerajaan berkaitan mendedahkan bahawa kawal selia terhadap kandungan yang bersifat dinamik itu dianggap amat mencabar tambahan Akta Penapisan Filem 2002 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masih ketinggalan.
Dalam membincangkan isu kawal selia serta cabaran yang dihadapi pihak berkuasa, apakah pendirian pemilik akaun penstriman terhadap lambakan kandungan sedemikian. Ikuti pandangan mereka dalam Pendapat Rakyat.
Jangan terlalu ketat larangan, perlu seimbang dan fleksibel
Sudah tentu kandungan filem atau drama luar negara boleh dinilai menggunakan piawaian tempatan tetapi ia perlu dilakukan secara seimbang dan fleksibel, janganlah terlalu ketat larangannya itu.
Saya tidaklah menolak sebarang bentuk usaha mengekang kandungan yang boleh menjejaskan norma masyarakat tetapi agak pelik kenapa sekarang?
Platform penstriman ini sudah wujud beberapa tahun lalu dan diakui setiap aplikasi penstriman yang dilanggan sedikit banyak ada filem mengandungi adegan atau amalan yang bertentangan dengan nilai Islam.
Sebagai pengguna, pilihan di tangan tersendiri untuk kawalnya jadi untuk tontonan anak saya, ada ketetapan profil dan kata laluan.
Pada pandangan saya, sekiranya kerajaan buat sekatan atau penambahbaikan dengan keadaan sekarang mungkin tiada perubahan besar kerana pengguna kini lebih cerdik untuk mencari filem tanpa tapisan di platform lain. - Suri rumah, Norashikin Mohd Yusof, 46
Sokong kawal selia lindungi penonton
Penapisan kandungan adalah penting bagi memastikan ia tidak bercanggah berikutan Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum yang menitikberatkan nilai kekeluargaan dan norma sosial.
Saya lihat kandungan yang tidak ditapis berpotensi menjejaskan keharmonian dan boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat, terutamanya golongan muda.
Kandungan penstriman asing yang mengandungi unsur songsang seperti LGBTQ, keganasan melampau atau nilai yang bertentangan dengan budaya tempatan boleh memberi kesan negatif kepada pembentukan jati diri kanak-kanak dan remaja.
Golongan ini masih dalam proses membentuk identiti dan mudah terpengaruh dengan apa yang mereka tonton, tindakan itu bukanlah bermaksud menyekat kreativiti, tetapi memastikan kandungan yang disiarkan sesuai dengan sensitiviti dan undang-undang negara.
Sebagai seorang bapa, menjadi tanggungjawab saya untuk memantau selain kerajaan boleh menimbang untuk memperkasakan pendidikan literasi digital dan penguatkuasaan undang-undang. - Eksekutif Kanan IT, Norhazarudin Mat Siat, 40
Kanak-kanak, remaja kini celik IT
Saya melihatkan kawalan sedia ada oleh platfom penstriman masih belum mencukupi terutama bagi golongan bawah umur meskipun ada yang menyediakan ciri penarafan umur, kawalan ibu bapa dan profil kanak-kanak.
Kanak-kanak dan remaja hari ini masing-masing memiliki telefon bimbit dan sudah tentu mereka lebih celik teknologi dan mudah memintas sekatan sedia ada sekali gus mudah terdedah pada kandungan yang tidak sesuai dengan mereka tambahan ia boleh diakses dengan bebas.
Justeru itu, wajar kerajaan memperketatkan penguatkuasaan terhadap kandungan filem dan drama luar negara di platfom penstriman digital dalam memastikan keseimbangan hiburan dan tanggungjawab sosial.
Penguatkuasaan tersebut harus relevan, selari dengan realiti digital masa kini dengan mewajibkan penarafan kandungan tempatan, memperkukuh mekanisma aduan pengguna, mengenakan tindakan terhadap platfom yang gagal mematuhi peraturan.
Rakyat perlu diperkasakan agar lebih bijak menilai kandungan yang ditonton. - Pegawai Eksekutif, Nuraini Adnan, 40
Platform strim wujud hampir sedekad lalu
Penapisan ketat terhadap kandungan filem dan drama luar negara berpotensi mengehadkan kebebasan penonton untuk membuat pilihan sendiri, namun langkah itu masih wajar dilaksanakan bergantung kepada jenis kandungan atau genre filem yang ditapis.
Platform penstriman filem dan drama telah beroperasi di Malaysia kira-kira sembilan tahun lalu dan seharusnya tempoh tersebut pihak berkaitan mempunyai masa yang cukup untuk pelaksanaan kawalan serta garis panduan yang lebih jelas dan berkesan.
Sekiranya penguatkuasaan ketat dilakukan saya berpandangan ia mungkin boleh menjejaskan kreativiti industri hiburan.
Bagaimanapun tanggungjawab utama dalam menilai dan mengawal tontonan wajar dipikul oleh ibu bapa serta individu, memandangkan pembentukan nilai dan jati diri banyak bermula daripada didikan di rumah. - Bekerja sendiri, Norazimah Ramli, 37