Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, vesel terbabit dikesan bersauh di kedudukan kira-kira 10 batu nautika barat laut Muka Head oleh pasukan rondaan Maritim Pulau Pinang selepas menerima maklumat awam pada jam 5 petang.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, hasil pemeriksaan mendapati vesel terbabit membawa muatan kira-kira 12 tan ikan tuna dan dikendalikan oleh 13 kru warga asing yang terdiri daripada rakyat Indonesia dan China.
“Semua kru memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, namun pemeriksaan lanjut mendapati vesel berkenaan tidak mempunyai kebenaran untuk bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia seperti yang diwajibkan mengikut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, dua individu utama kapal iaitu kapten dan ketua jurutera, berusia antara 50 dan 59 tahun, telah dibawa ke Pejabat Maritim Pulau Pinang untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 491B(1), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim negara, khususnya membabitkan aktiviti mencurigakan di kawasan strategik seperti perairan Pulau Pinang.
“Kami akan terus mempertingkatkan pengawasan serta tindakan penguatkuasaan agar perairan negara kekal selamat, sejahtera dan bebas daripada sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan keselamatan serta ekonomi maritim,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memohon komuniti maritim agar sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta prosedur yang ditetapkan, terutama berkaitan lokasi bersauh demi keselamatan dan kelestarian perairan negara.