KUALA LUMPUR – Pemeriksaan sebuah kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SVR) susulan siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat membawa kepada penemuan emas dan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing, dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM6.9 juta.
Sumber memaklumkan, pemeriksaan tersebut dijalankan selepas kenderaan berkenaan ditemui di sebuah bengkel sekitar Lembah Klang, dipercayai ditinggalkan bagi tujuan pembaikan.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu membawa kepada sitaan wang tunai dan barangan kemas yang disyaki mempunyai kaitan dengan siasatan kes berkenaan.
"Wang tunai yang disita melibatkan beberapa mata wang asing termasuk Dolar Amerika Syarikat (USD), Euro, Pound, Yen Jepun dan Riyal Arab Saudi," katanya pada Jumaat.
Menurut sumber itu, antara sitaan utama ialah tiga unit jongkong emas 999 yang setiap satunya seberat satu kilogram dengan nilai semasa dianggarkan RM1.8 juta.
"Turut disita sembilan keping emas yang setiap satunya seberat 100 gram dengan nilai semasa dianggarkan melebihi RM500,000.
"Sebuah SVR turut disita dan dianggarkan bernilai kira-kira RM360,000, dipercayai dibeli secara tunai. Keseluruhan sitaan melibatkan emas, wang tunai dan kenderaan itu dianggarkan mencecah nilai RM6.9 juta,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan sitaan berkenaan.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang bekas Panglima Tentera Darat direman selama tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Ezrene turut mengeluarkan perintah reman selama tiga hari dan enam hari masing-masing kepada isteri pertama dan kedua bekas pegawai tertinggi Tentera Darat tersebut.
Pada Selasa, media melaporkan seramai 17 pengarah syarikat direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes sama.
Menurut SPRM, kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20-an hingga 60-an, yang ditahan antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan bahawa bekas Panglima Tentera Darat itu dikehendaki memberi keterangan pada 28 Disember 2024, namun tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital.
SPRM turut hadir ke Kementerian Pertahanan pada 23 Disember lalu bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek yang membabitkan Tentera Darat sejak 2023.
Pada 29 Disember lalu, Azam memaklumkan bahawa SPRM telah menyita enam akaun bank milik pegawai berkenaan serta ahli keluarganya bagi membantu siasatan.
Dua hari sebelumnya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan bahawa Tan Sri Muhammad Hafizuddeain telah diarahkan bercuti berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan terhadap beliau selesai.