PEKAN - Seorang kanak-kanak lelaki nyaris maut selepas dibelit dan digigit seekor ular sawa berhampiran rumah abangnya di Kampung Temai Tengah di sini pada Khamis.
Abdul Rafka Azka Abdullah, 10, bernasib baik apabila kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu disedari abangnya, Muhammad Nukman Muhammad Nizam, 26, dan bapa saudara, Ramzi Mohamad Amin, 57, sebelum mereka segera melepaskan mangsa daripada gigitan dan belitan reptilia berkenaan.
Muhammad Nukman berkata, ular sawa itu begitu ganas menyerang hingga dia dan bapa saudara mengambil masa kira-kira 30 minit untuk melepaskan mangsa.
Menurutnya, lembing dan dua parang terpaksa digunakan untuk membuka mulut ular sawa batik yang menggigit betis kanan mangsa.
"Keadaan ketika itu agak cemas apabila badan adik juga dibelit hingga paras leher," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Jumaat.
Muhammad Nukman berkata, kejadian berlaku ketika mangsa baru tiba di rumahnya sebelum diserang ular sawa berkenaan yang dipercayai berada dalam kawasan semak berhampiran.
"Mungkin haiwan itu bertindak menggigit kaki kanan adik yang kebetulan berada berhampiran kerana terganggu atau terancam.
"Selepas menggigit, ular sawa itu terus membelit badan adik hingga paras leher sebelum dia menangis meminta tolong," katanya.
Sementara itu katanya, walaupun geli dengan ular, dia menguatkan semangat apabila bertindak menarik ekor ular itu yang sedang membelit bahagian badan adiknya.
"Selepas berjaya dilepaskan, saya segera membawa adik ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan," katanya.