HPPNK 2025 tawar 18 segmen utama, lonjak sektor agromakanan

Iklan
Mohamad bersama Isham dan Mahfuz menyerahkan replika HPPNK 2025 kepada Norsih pada HPPNK Tahun 2025.

Sabah menjadi tuan rumah, sasar 500,000 pengunjung

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 yang berlangsung di Sabah, Ogos depan bakal menampilkan pendekatan lebih segar, berimpak tinggi dan menyeluruh melalui 18 segmen utama yang digerakkan di bawah empat fokus strategik.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penganjuran HPPNK pada tahun ini bukan sahaja meraikan sumbangan peladang, penternak dan nelayan, malah menjadi platform penting bagi memacu keterjaminan makanan negara, memperkenalkan teknologi terkini dan menarik minat golongan muda menceburi sektor agromakanan.

Iklan
Iklan

“HPPNK 2025 menawarkan 18 segmen utama yang digerakkan di bawah empat fokus strategik masing-masing memberi penekanan kepada aspek keterjaminan makanan, teknologi, penglibatan generasi muda serta pembangunan keusahawanan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Prapelancaran HPPNK 2025 di sini pada Khamis.

Hadir sama ialah Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar serta Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Pembangunan Tanaman Dan Infrasruktur Kementerian Pertanian, Perikanan Dan Industri Makanan Sabah, Norsih Nusiri @ Nursuri.

Mohamad (dua dari kanan) bersama Isham dan Mahfuz melawat reruai pameran pada HPPNK Tahun 2025.

Iklan

Menurut beliau, empat fokus strategik iaitu Agro Millenia, Cukup dan Terjamin, Sejahtera Madani serta Jualan dan Keusahawanan merangkumi keseluruhan ekosistem sektor pertanian, penternakan dan perikanan negara.

“Fokus pertama, Agro Millenia memberi tumpuan kepada usaha melibatkan lebih ramai golongan belia dalam sektor agroteknologi dengan pelbagai teknologi moden akan dipamerkan seperti dron, sistem GeoAgro, robotik, Internet of Things (IoT), hidroponik, tenaga solar serta inovasi terkini seperti EZGrow™, GreenKit dan Microfarm.

Iklan

Fokus kedua, Cukup dan Terjamin pula menekankan kepentingan inovasi dalam menjamin kelangsungan bekalan makanan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara pengisian yang diketengahkan termasuk penggunaan teknologi fertigasi dalam tanaman durian, kelapa dan sayuran, pameran varieti padi bukit serta penerapan teknologi pengurusan sisa dan penghasilan baja organik.

“Kempen kesedaran MYSaveFood dan teknologi enzim Bromelin juga dipaparkan bagi memperkukuhkan amalan pertanian lestari,” kata Mohamad.

Beliau berkata, bagi fokus ketiga, Sejahtera Madani, segmen itu membawa mesej kemampanan, kesejahteraan dan rasa hormat sejajar dengan nilai-nilai Madani yang menjadi teras pentadbiran kerajaan masa kini.

"Ia memberi ruang kepada para peladang, penternak dan nelayan untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama, berkongsi ilmu dan pengalaman, sekali gus memperkasakan komuniti agromakanan negara," katanya.

Mohamad berkata, fokus keempat, Jualan dan Keusahawanan pula menonjolkan identiti KPKM melalui pendekatan Agro Madani yang berteraskan kesejahteraan dan ehsan.

“Antara tarikan utama ialah penganjuran Jualan Agro Madani Mega yang menawarkan lebih 300 menu makanan tempatan termasuk makanan popular dari Sabah dan makanan viral yang digemari masyarakat hari ini.

“Jualan Agro Madani Mega turut menawarkan penjimatan harga barangan keperluan harian sehingga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya.

Mohamad bersama Isham dan Mahfuz pada Pra-Pelancaran Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2025 yang diadakan di Wisma Tani, Putrajaya pada Khamis.

Selain itu, pameran ternakan hidup, kucing, Kuda Padi Sabah serta IoT dalam sektor perikanan juga akan dipamerkan kepada pengunjung.

"Inovasi menarik seperti mesin tarik pukat dan realiti maya (VR) ladang udang turut menjadi sebahagian daripada pengisian program,” katanya.

Mohamad berkata, HPPNK 2025 yang akan berlangsung pada 1 hingga 3 Ogos di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu itu bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sambutan 50 tahun penubuhan HPPNK

Mohamad berkata, sambutan tahun ini sangat istimewa kerana HPPNK memasuki ulang tahun jubli emas yang menandakan genap 50 tahun sejak pertama kali diadakan pada 6 Ogos 1975 di pekarangan bangunan Parlimen dan dirasmikan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri Malaysia kedua ketika itu.

“Tahun ini, sambutan HPPNK diraikan dengan penuh keistimewaan dan kebanggaan sempena ulang tahun jubli emas.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi cerminan kepada pengorbanan, semangat dan usaha gigih seluruh warga peladang, penternak dan nelayan dalam memastikan keterjaminan makanan untuk negara tercinta,” katanya.

Beliau menegaskan, tema sambutan tahun ini ‘Kudrat Kami Menjamin Pertiwi’ sangat bertepatan dan menyentuh jiwa kerana ia menggambarkan semangat, dedikasi dan tanggungjawab warga sektor agromakanan dalam memastikan keselamatan makanan negara demi kesejahteraan rakyat.

“Saya berharap HPPNK 2025 akan menjadi pemangkin semangat baharu kepada warga peladang, penternak dan nelayan untuk terus maju serta menarik lebih ramai golongan muda menyertai sektor agromakanan sebagai kerjaya yang membanggakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pemilihan Sabah sebagai lokasi penganjuran HPPNK berdasarkan potensi besar untuk dikembangkan dalam sektor pertanian negara.

"Sabah dipilih kerana negeri itu mempunyai muka bumi, cuaca dan tanah yang subur. Kita nampak Sabah sebagai negeri yang mampu menjadi peneraju pertanian pada masa depan.

"Tahun lepas kita fokus di Perak, tahun ini di Sabah. Mungkin pada masa akan datang kita akan beri tumpuan di negeri-negeri lain pula," ujarnya.

Menurut beliau, kementerian menyasarkan kehadiran 500,000 pengunjung pada HPPNK 2025 dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM100 juta.