TASEK GELUGOR - Seramai 200 murid asnaf atau kurang berkemampuan (B40) menerima manfaat menerusi Program Titipan Kasih Back To School Bersama PTPTN dan Harian Metro Tahun 2026, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membantu golongan memerlukan dalam aspek pendidikan.
Inisiatif tahunan di bawah agenda Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PTPTN itu dilaksanakan secara konsisten bagi meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak menjelang sesi persekolahan baharu.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, di sebalik peranan utama PTPTN dalam memperkasa pendidikan tinggi negara, agensi turut prihatin menyalurkan sumbangan melalui pelaksanaan program CSR secara berterusan bagi memastikan masyarakat tidak tercicir daripada arus pendidikan akibat masalah kewangan.
“Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban kewangan ibu bapa dalam persediaan sesi persekolahan baharu di samping menyemai kesedaran tentang kepentingan perancangan dan simpanan pendidikan demi masa depan anak-anak," katanya.
Terdahulu, Program Titipan Kasih Back To School Bersama PTPTN dan Harian Metro Tahun 2026 diadakan di Dewan Dahlia, Midtown PERDA, Tasek Gelugor, dan disempurnakan Norliza.
Melalui program terbabit, pelajar berkeperluan dan terpilih menerima sumbangan set pakaian serta beg sekolah baharu.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras KADUN Permatang Berangan, Datuk Omar Abdul Hamid dan Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohamad Zawawi Ahmad.
Hadir sama, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar serta Pengarah Negeri PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.
Sementara itu, Pengarang Kumpulan Harian Metro merangkap Pengerusi Projek Titipan Kasih Harian Metro, Husain Jahit berkata, kerjasama buat tahun ketiga itu merupakan bukti keprihatinan berterusan Media Prima dan Harian Metro dalam memperkasakan pendidikan komuniti setempat.
"Kehadiran kami hari ini bukan sekadar menyerahkan bantuan fizikal, tetapi membawa mesej harapan agar anak-anak ini sedar bahawa mereka tidak sendirian dalam mengejar impian," ujarnya lagi.
Kerjasama strategik antara PTPTN dan Harian Metro itu turut menjadi usaha berterusan dalam menyokong pembangunan pendidikan anak bangsa selaras dengan aspirasi PTPTN memperkasa agenda pendidikan serta menyediakan peluang lebih baik kepada generasi muda, khususnya dalam kalangan golongan memerlukan.
Program memberi manfaat kepada 200 murid asnaf atau B40 daripada empat sekolah terpilih iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Jaya, SK Pokok Ketapang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakti Tasek Gelugor dan SMK Tasek Gelugor.
Sumbangan set pakaian serta beg sekolah berjumlah RM43,600 disalurkan PTPTN, manakala Media Prima Berhad turut memberikan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM20,000 kepada pelajar terlibat dengan RM100 diterima setiap seorang.