AHMEDABAD – Sebuah pesawat Boeing 787 Dreamliner yang membawa 242 orang penumpang terhempas pada Khamis selepas berlepas dari bandar Ahmedabad, India, dalam penerbangan menuju ke London.
Dalam tragedi itu, hanya seorang mangsa dilaporkan terselamat, manakala sekurang-kurangnya 24 lagi orang awam turut maut apabila pesawat merempuh kawasan perumahan.
Pihak polis memaklumkan bahawa sebanyak 265 mayat telah dibawa ke hospital utama di negeri Gujarat.
Menurut kenyataan Direktorat Jeneral Penerbangan Awam India, pesawat Air India AI171 berlepas pada jam 1.40 petang (waktu tempatan) sebelum mengeluarkan isyarat 'mayday' dan terhempas sejurus selepas berlepas.
Rakaman video yang tersebar di media sosial menunjukkan pesawat menjunam dengan muncung ke atas sebelum meletup dan terbakar selepas menghentam sebuah bangunan yang menempatkan kakitangan perubatan serta keluarga mereka.
Pesawat tersebut membawa 169 warga India, 53 rakyat Britain, tujuh warga Portugal dan seorang warga Kanada.
Pesawat malang itu merempuh sebuah bangunan berhampiran Hospital Ghoda Camp, menyebabkan kebakaran besar dan kemusnahan teruk.
Seorang penduduk tempatan berkata mereka melihat penghuni bangunan melompat dari tingkat atas untuk menyelamatkan diri daripada api yang marak.
Seorang lagi saksi, Poonam Patni, berkata kebanyakan mayat rentung sepenuhnya.
Seorang doktor, Krishna, menceritakan bahawa muncung pesawat menghentam kantin hospital sewaktu pelajar sedang makan tengah hari.
Beliau membantu menyelamatkan kira-kira 15 pelajar dan menyaksikan lebih 20 mayat terbakar.
Pihak berkuasa Gujarat mengesahkan hanya seorang penumpang berjaya diselamatkan daripada pesawat yang membawa 242 orang itu, termasuk dua juruterbang dan 10 kru kabin.
Polis mengesahkan bahawa 265 mayat telah ditemui, termasuk mangsa di darat yang turut terkorban akibat impak dan kebakaran.
Lapangan Terbang Ahmedabad ditutup serta-merta dengan semua penerbangan digantung sehingga diberitahu kelak.
Sementara itu, Pengerusi Air India, Natarajan Chandrasekaran memaklumkan bahawa pusat kecemasan telah dibuka dan pasukan sokongan ditugaskan membantu keluarga mangsa.
Tata Group, pemilik Air India, menawarkan pampasan sebanyak 10 juta rupee (RM558,000) kepada setiap keluarga mangsa serta menanggung semua kos rawatan mangsa yang terselamat.
Salah satu daripada dua kotak hitam pesawat Boeing 787-8 telah ditemui oleh pasukan penyelamat di tapak nahas.
Menurut laporan Hindustan Times yang memetik sumber rasmi, kotak hitam yang ditemui terletak di bahagian belakang pesawat dan kini berada dalam kawalan pihak berkuasa.
Kotak hitam kedua yang berada di bahagian hadapan pesawat masih belum dijumpai.
Perakam suara kokpit dan data penerbangan itu dijangka memainkan peranan penting dalam mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
Analisis data dijangka mengambil masa beberapa hari.
Biro Siasatan Kemalangan Udara India (AAIB) telah memulakan siasatan rasmi dengan sokongan syarikat Boeing serta agensi penyiasatan dari Amerika Syarikat dan Britain yang telah menghantar pasukan masing-masing ke India. - AFP