SHAH ALAM - MCA mencadangkan tujuh langkah bagi mengatasi isu kebocoran data awam susulan dakwaan bahawa kerajaan telah mengarahkan semua syarikat telekomunikasi (telco) menyerahkan data penuh pengguna telefon di Malaysia.
Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, antara cadangan yang dikemukakan termasuklah pelaksanaan audit bebas dan telus terhadap protokol pengecaman individu.
Menurutnya, cadangan kedua ialah mewajibkan proses perundingan awam sebelum sebarang pengumpulan data dijalankan pada masa akan datang.
“Perkara ketiga, pihak berkaitan perlu menghentikan segala bentuk ugutan atau ancaman siber kerana rakyat Malaysia berhak untuk bersuara tanpa rasa takut, serta perlu ada mekanisme pengawasan yang benar-benar bebas, bukan sekadar menjadi ‘pak turut’ kepada mana-mana pihak.
“Dalam masa sama, pembaharuan undang-undang perlu dilaksanakan bagi memperkasa Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan memperluaskannya agar merangkumi agensi-agensi kerajaan.
“Selain itu, perlu diwujudkan tempoh pemadaman data yang boleh dikuatkuasakan. Ini bermaksud dasar atau peraturan yang menetapkan berapa lama data peribadi boleh disimpan sebelum wajib dipadam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, pada Jumaat.
Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempertahankan arahan yang mewajibkan syarikat telekomunikasi menyerahkan data semua panggilan telefon bimbit bagi tempoh Januari hingga Mac.
Suruhanjaya itu menyatakan bahawa tiada maklumat peribadi yang akan diakses, diproses atau didedahkan.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas South China Morning Post memetik sumber industri yang melaporkan bahawa Putrajaya telah mengarahkan syarikat telekomunikasi menyerahkan rekod terperinci panggilan telefon dan penggunaan internet sebagai sebahagian daripada peluasan kawalan terhadap aktiviti dalam talian.
Tambah Ka Siong, MCA tidak menolak kemajuan dan kepesatan teknologi, namun bertegas untuk mempertahankan hak rakyat dan menentang sebarang bentuk penyalahgunaan data.
“Jangan nafikan kebenaran. Data yang dikumpul boleh menjadi senjata – ia boleh mendedahkan di mana seseorang tidur, dengan siapa mereka bercakap, dan ke mana mereka pergi.
“Apabila data ini jatuh ke tangan ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan digunakan untuk memanipulasi mereka yang tidak sehaluan, maka bersiap sedialah untuk menghadapi akibatnya,” katanya.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menegaskan, isu ini bukan berkaitan politik semata-mata, sebaliknya melibatkan kepentingan awam.
“Realitinya, semakin kuat kerajaan menafikan, semakin ramai suara rakyat disekat.
“Apakah kerajaan fikir rakyat akan percaya bahawa pengumpulan data ini tiada kaitan dengan pengawasan atau kawalan? Jika kritikan disekat dan pengumpulan data diselubungi intimidasi, maka ini bukan lagi sekadar soal statistik, tetapi menimbulkan persoalan – adakah kita masih sebuah negara demokratik?” tegasnya.