Kerajaan sedia bantu Koperasi PDRM hapus hutang premis Kolej UNIKOP

Iklan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada majlis Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke-90 Koperasi Polis DiRaja Malaysia Berhad di Kuala Lumpur, hari ini. Foto Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia membantu Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Berhad menghapuskan hutang premis Kolej UNIKOP dengan memberi pengecualian yang munasabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan berusaha mencari jalan bagi membantu badan tersebut menguruskan hutang lapuk termasuk dengan meluluskan projek yang boleh dijalankan oleh koperasi berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan memberi jaminan, namun ia tidak bermaksud akan menghapuskan semua hutang begitu sahaja.

“Saya difahamkan ada permohonan untuk hapuskan hutang, tapi saya fikir tidak wajar untuk lupus semua. Tetapi berdasarkan prestasi baik pengurusan koperasi dan PDRM, kita akan berikan pengecualian atau potongan yang munasabah.

Iklan

“Saya minta Koperasi PDRM berikan laporan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga kepada saya, dan pada masa sama, kita akan lihat sama ada Menteri Kewangan (MOF) boleh mencari jalan lain.

“Misalnya, satu projek yang diberikan oleh MOF memanfaatkan 100,000 anggota polis, itu saya beri jaminan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad Kali Ke-90 di sini, pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian susulan permohonan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk menghapus kira hutang premis Kolej UNIKOP Cyberjaya bagi tahun 2024 kepada pihak Cyberview Sdn. Bhd.

Anwar berkata, laporan penuh perlu dikemukakan oleh Koperasi PDRM kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dirinya sendiri sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

“Selepas ini akan ada pertemuan dengan pihak koperasi dan mereka akan memperincikan hal-hal itu untuk kita bantu ringankan beban dari segi pengurusan dan hutang lapuk mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim ketika sidang media menjelaskan, proses pelupusan persetujuan sedang dibincangkan dengan anak syarikat Menteri Kewangan yang diperbadankan dalam pembuatan keputusan.

“Kadang-kadang apabila maklumat itu tidak sepenuhnya, pengurusan membuat keputusan yang kurang tepat,” jelasnya.

Ujar beliau, hutang sejak 2019 melibatkan beberapa urus niaga yang dilaksanakan terdahulu disebabkan kekangan ataupun ketirisan dalam pengurusan.

“Kita dalam proses pelupusan hutang itu, dan kita telah membuat permohonan kepada anak syarikat Menteri Kewangan,” ujarnya.