HULU TERENGGANU - Seorang wanita berusia 52 tahun kerugian RM322,000 selepas terpedaya dengan tawaran tender palsu membabitkan pembekalan peralatan kuasa yang didakwa daripada sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) di negeri ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa mendakwa terjebak selepas menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah kolej universiti.
Katanya, suspek menawarkan tender membekalkan 32 unit Delta Pro Power Station 3600WH dengan setiap satunya berharga RM20,000.
"Mangsa yang berminat dengan tawaran itu telah diberikan sebut harga dan diperkenalkan kepada pembekal yang memberikan invois pembelian.
"Antara 4 hingga 10 Jun lalu, mangsa telah membuat beberapa transaksi ke beberapa akaun berbeza sebagai bayaran pembelian sehingga jumlah keseluruhan mencecah RM322,000,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa mula curiga dan berhenti membuat pembayaran selepas mendapati nama pada salah satu invois dicop dengan nama institusi lain, bukan institusi seperti yang dijanjikan.
"Walaupun mula berasa ragu, pengadu terus didesak untuk meneruskan pembayaran. Namun, pengadu enggan dan kemudiannya membuat laporan polis kerana berasa tertipu dengan tawaran tender itu," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran tidak sah, terutama melalui panggilan telefon, serta membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berwajib.
"Semakan boleh dibuat melalui Polis Diraja Malaysia, portal Semak Mule, senarai amaran Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," katanya.