Israel lancar serangan ke atas Iran

Iklan
Penduduk bersiap siaga dengan segala kemungkinan.-Agensi

TEHERAN – Beberapa letupan dilaporkan berlaku di timur laut ibu negara Iran awal pagi Jumaat, dipercayai susulan serangan udara oleh tentera Israel ke atas beberapa sasaran penting di Teheran.

Menurut agensi berita rasmi Iran, Nour News, gegaran kuat kedengaran di sekitar kawasan tersebut dan pasukan keselamatan kini sedang menilai kerosakan serta kemungkinan jumlah korban.

Iklan
Iklan

Laporan eksklusif oleh Axios yang memetik dua sumber perisikan mendakwa, serangan itu dilancarkan oleh Tentera Udara Israel sebagai tindakan balas terhadap ancaman berterusan daripada pihak Iran. Bagaimanapun, lokasi sebenar yang menjadi sasaran masih belum didedahkan secara rasmi.

Sementara itu, dua pegawai Amerika Syarikat yang enggan dinamakan memberitahu agensi berita Reuters, bahawa Israel telah memulakan operasi ketenteraan di wilayah Iran, namun mereka menegaskan bahawa Washington tidak terlibat dalam sebarang bentuk sokongan terhadap serangan tersebut.

Iklan

“Amerika Syarikat tidak memberi bantuan atau terlibat dalam operasi ini,” jelas salah seorang pegawai itu sambil enggan mengulas lanjut.

Sehingga kini, pihak tentera Israel masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung serangan tersebut.

Iklan

Namun, menerusi satu hantaran di platform X sekitar jam 3.00 pagi waktu tempatan (8.00 pagi waktu Malaysia), pihak tentera memaklumkan bahawa garis panduan keselamatan awam dan sivil telah dikemas kini dan berada dalam status 'aktiviti penting'.

“Garis panduan ini termasuk larangan terhadap semua aktiviti pendidikan, perhimpunan orang ramai, serta penutupan tempat kerja kecuali bagi perkhidmatan penting,” menurut kenyataan itu.

Ketegangan antara Israel dan Iran memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini, dengan beberapa penganalisis antarabangsa menjangkakan serangan balas boleh berlaku susulan kegagalan rundingan nuklear serta siri kenyataan provokatif antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, turut memberi amaran awal minggu ini bahawa terdapat 'kebarangkalian berlakunya konflik besar-besaran' jika ketegangan antara Tel Aviv dan Teheran terus memuncak.

Perkembangan ini dijangka mencetuskan kebimbangan global mengenai kestabilan di Asia Barat dan potensi tercetusnya perang berskala lebih besar melibatkan kuasa-kuasa serantau. -Agensi