MAKKAH – Jemaah haji yang akan berangkat pulang ke tanah air wajib melaksanakan tawaf wada’ selepas selesai menunaikan semua rukun dan syarat wajib haji.
Tawaf wada’ adalah tawaf selamat tinggal dan ia dilakukan oleh jemaah haji atau jemaah umrah, termasuk penduduk kota Makkah bagi memuliakan dan menghormati Baitullah Al-Haram (Kaabah) sebelum mereka berangkat meninggalkan kota suci Makkah Al-Mukarramah untuk bermusafir.
Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji (TH), Shahrin Awaludin berkata, berdasarkan pandangan Imam Mazhab Syafie adalah berdosa sekiranya jemaah tidak melakukan perkara berkenaan dan boleh dikenakan dam.
Menurut Shahrin, walaupun terdapat perselisihan pendapat ulama mengenai perkara tersebut namun Tabung Haji mengguna pakai resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan iaitu jemaah adalah diwajibkan untuk melakukan tawaf wada’.
“Memandangkan ramai dalam kalangan jemaah kita ini pertama kali ke Tanah Suci, datang dari jauh dan mungkin tidak ke sini lagi selepas ini sebab itu sangat penting mereka lakukan tawaf wada’.
“Berdasarkan pandangan Imam Mazhab Syafie, jemaah haji yang tidak melakukannya (tawaf wada’) dikenakan dam seekor kambing,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Abraj Al Janadriah di sini.
Shahrin berkata, tawaf wada’ perlu dilaksanakan dalam tempoh lapan jam sebelum jemaah haji bergerak keluar dari kota suci Makkah dan tidak boleh dilakukan dengan lebih awal.
Tambahnya, tawaf wada’ boleh dilaksanakan dengan berpakaian biasa bagi lelaki tanpa memakai kain ihram.
“Untuk jemaah Malaysia, dalam jadual yang dikeluarkan oleh pihak maktab biasanya anggarannya sekitar empat ke lima jam sebelum bertolak mereka perlu melaksanakan tawaf wada’ tersebut. Jika lebih daripada tempoh ditetapkan mereka kena buat lagi sekali.
“Ia tak boleh dibuat lebih awal daripada tu sebab banyak perkara-perkara yang tidak digalakkan. Tawaf wada’ adalah amalan yang terakhir. Apabila selesai melaksanakannya, maka mereka perlu segera meninggalkan Tanah Suci Makkah.” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, tawaf wada’ terkecuali kepada wanita yang berhadas besar iaitu haid, nifas dan istihadah serta keuzuran yang diberikan oleh syarak.