Perkasa institusi mufti, benteng utama umat Islam

Iklan
Laman web dan media sosial Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang sering menjadi rujukan orang ramai. Gambar hiasan

Institusi mufti atau jabatan mufti di Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri merupakan antara tonggak utama dalam urus tadbir hal ehwal agama Islam.

Sebagai autoriti tertinggi dalam pengeluaran fatwa, institusi ini memainkan peranan penting dalam memberikan panduan kepada umat Islam tentang pelbagai isu syariah, akidah dan akhlak yang timbul dalam masyarakat moden kini.

Iklan
Iklan

Justeru, memperkasa institusi mufti bukan sahaja suatu keperluan, bahkan menjadi satu keutamaan demi kestabilan sosial dan keharmonian, lebih-lebih lagi dalam negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia ini.

Dunia Islam hari ini berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran termasuk kumpulan yang taasub dengan sesuatu mazhab, serangan pemikiran liberal dan ekstremisme, hinggalah kepada isu-isu kontemporari.

Iklan

Dalam mendepani cabaran ini, institusi mufti perlu dilengkapkan dengan sumber manusia yang berkualiti tinggi, akses kepada penyelidikan saintifik terkini dan kuasa perundangan yang jelas serta dihormati.

Sudah tiba masanya institusi mufti tidak hanya dilihat sebagai jabatan yang mengeluarkan fatwa secara reaktif, tetapi dipandang sebagai pusat ilmu dan rujukan utama dalam pembangunan dasar negara.

Iklan

Fatwa yang dikeluarkan perlu berpaksikan ilmu, konteks semasa dan maqasid syariah, namun dalam masa yang sama tetap berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Islam yang murni.

Sebagai contoh, laman web dan media sosial Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang sering menjadi rujukan orang ramai, bukan sahaja di Wilayah Persekutuan semata-mata, malah dirujuk dari segenap pelosok negara.

Tahniah diucapkan kepada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, lebih-lebih lagi umat Islam mengharapkan penambahbaikan berterusan apabila mendapat ‘nakhoda kapal’ baharu sebagai Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz Fadzil yang merupakan anak kepada ulama dan bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor.

Kita tidak mahu institusi mufti terus dilihat sebagai ‘menara gading’ yang jauh daripada denyut nadi rakyat. Sebaliknya, ia mesti menjadi institusi yang diyakini, dihormati dan disayangi - bukan kerana kuasa, tetapi kerana hikmah dan integritinya.

Akhbar ini percaya institusi mufti mampu diperkasa menjadi benteng utama umat dalam mendepani zaman penuh cabaran ini.