JAKARTA – Polis Indonesia mendapati punca seorang lelaki membunuh isterinya yang baru 10 hari melahirkan anak kedua mereka kerana malu dengan beban hutang isterinya dan tekanan cemuhan orang ramai di media sosial.
Siasatan awal mendapati suspek, Syamsudin, 29, bertindak kejam selepas tidak tahan diejek berhubung hutang yang ditanggung isterinya hingga menjadi bahan bualan di Facebook.
Mangsa, Sri Wahyuni, 28, ditemui tidak bernyawa dalam keadaan mengerikan oleh anak sulung mereka yang baru berusia lapan tahun di kediaman mereka di Desa Marada, Kecamatan Hu’u, Dompu, Nusa Tenggara Barat pada Sabtu lalu.
Menurut Ketua Bahagian Humas Polis Dompu, AKP Zuharis, tubuh mangsa mengalami kecederaan parah pada leher belakang, punggung, kepala dan tangan akibat tetakan senjata tajam jenis parang sepanjang 60 sentimeter.
“Ketika mayat ditemui, bayi berusia 10 hari itu berada di sisi ibunya dalam keadaan tidak memahami apa yang berlaku,” kata Zuharis.
Difahamkan, sehari sebelum kejadian, pasangan berkenaan baru sahaja mengadakan kenduri kesyukuran sempena kelahiran anak mereka.
Suspek berjaya diberkas polis beberapa jam selepas kejadian dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Dia disiasat di bawah Pasal 44 Ayat 3 Undang-undang Penghapusan Kekerasan dalam Rumah Tangga yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga 45 juta rupiah (RM11,700).
Kematian tragis itu menjadikan dua anak mangsa sebagai yatim. Lebih memilukan, bayi yang baru dilahirkan itu belum sempat diberikan nama.
“Saya tanya kepada neneknya apa nama bayi itu, tapi dia sendiri tidak tahu. Saya tawarkan diri untuk bantu carikan nama,” kata saudara mangsa, Mawar Yulia.
Beliau turut menyuarakan hasrat untuk mengambil anak itu sebagai anak angkat memandangkan keluarga mangsa kini dalam keadaan trauma dan tidak berkemampuan.
Mawar yang bersimpati dengan nasib anak-anak itu turut melancarkan inisiatif sumbangan orang ramai bagi menampung keperluan asas seperti susu dan lampin bayi.
“Saya tahu saya tak mampu tanggung semuanya sendiri, tapi kalau ramai-ramai bantu, walaupun cuma Rp10,000 ( RM2.60), itu cukup bermakna untuk masa depan bayi ini,” katanya.
Mawar menegaskan, sekiranya keluarga memutuskan untuk menyerahkan hak penjagaan, beliau berharap diberi keutamaan sebagai penjaga demi memastikan bayi itu membesar dalam kasih sayang dan keselamatan. -Agensi