Jururawat tidak sengaja terpotong ibu jari bayi

Iklan
Seorang jururawat secara tidak sengaja memotong ibu jari seorang bayi di Indore, India. - Foto: newskartanaka

INDORE – Seorang jururawat secara tidak sengaja telah memotong ibu jari seorang bayi ketika membuka peralatan rawatan titisan intravena (IV) di sebuah hospital di India pada 24 Disember lalu.

Menurut laporan NDTV, mangsa yang dirawat akibat radang paru-paru (pneumonia) ditempatkan di sebuah wad di Hospital Kerajaan Maharaja Yashwantrao (MYH) di negeri Madhya Pradesh sebelum insiden itu berlaku.

Iklan
Iklan

Menurut ibu mangsa, Anjubai, beliau mengesan tangan anak lelakinya yang berusia satu bulan setengah itu membengkak sebelum jururawat dipanggil untuk memeriksa keadaannya.

Ketika kejadian, jururawat terbabit cuba menanggalkan pita pelekat pada tiub yang terpasang di tangan bayi dengan menggunakan gunting sebelum secara tidak sengaja memotong ibu jari bayi berkenaan.

Iklan

Insiden itu mencetuskan panik dalam kalangan waris dan kakitangan perubatan sebelum bayi dirujuk ke hospital pakar dengan segera bagi menjalani pembedahan kecemasan.

Pasukan pakar bedah plastik dilaporkan berjaya menyambung semula jari yang terputus dan keadaan bayi kini stabil namun masih dipantau rapi.

Iklan

Susulan kejadian itu, newskarnataka melaporkan pihak pentadbiran hospital telah memulakan tindakan tatatertib, iaitu jururawat terlibat telah digantung tugas, manakala gaji tiga jururawat lain yang turut bertugas ketika itu ditahan selama satu bulan.

Dekan Kolej Perubatan, Dr Arvind Ghanghoria mengesahkan insiden tersebut dan memaklumkan bahawa sebuah jawatankuasa siasatan telah dibentuk serta diarahkan menyerahkan laporan dalam tempoh 24 jam bagi mengenal pasti punca kejadian.

Menurutnya, bayi berkenaan, yang sebelum ini bergantung pada ventilator akibat pneumonia, kini berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan.

Beliau turut memaklumkan bahawa tindakan lanjut akan diambil selepas laporan siasatan jabatan diserahkan.