Meta gesa Australia ubah larangan media sosial untuk remaja

Iklan
Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Australia melihat media sosial menggunakan komputer. - Foto: Agensi

SYDNEY, Australia - Gergasi teknologi Meta pada Isnin menggesa Australia supaya mengkaji semula larangan penggunaan media sosial terhadap remaja bawah 16 tahun sambil melaporkan bahawa syarikat itu telah menyekat lebih 544,000 akaun sejak undang-undang baharu tersebut berkuat kuasa.

Australia mewajibkan platform besar termasuk Meta, TikTok dan YouTube menghalang pengguna bawah umur daripada memiliki akaun sejak perundangan itu mula dikuatkuasakan pada 10 Disember tahun lalu.

Iklan
Iklan

Syarikat terlibat boleh dikenakan denda sehingga Aus$49.5 juta (AS$33 juta) sekiranya gagal mengambil langkah munasabah untuk mematuhi peraturan tersebut.

Meta milik bilionair Mark Zuckerberg berkata, ia telah memadam 331,000 akaun bawah umur daripada Instagram, 173,000 daripada Facebook dan 40,000 daripada Threads dalam tempoh seminggu sehingga 11 Disember.

Iklan

Syarikat itu menegaskan komitmennya untuk mematuhi undang-undang berkenaan.

“Namun begitu, kami menggesa kerajaan Australia supaya berinteraksi secara konstruktif dengan industri bagi mencari pendekatan yang lebih baik.

Iklan

"Contohnya memberi insentif kepada seluruh industri untuk meningkatkan standard dalam menyediakan pengalaman dalam talian yang selamat, melindungi privasi dan sesuai mengikut umur, berbanding melaksanakan larangan menyeluruh,” menurut Meta dalam satu kenyataan.

Meta turut mengulangi gesaan sebelum ini supaya kedai aplikasi diwajibkan mengesahkan umur pengguna serta mendapatkan kelulusan ibu bapa sebelum remaja bawah 16 tahun dibenarkan memuat turun aplikasi.

Menurut syarikat itu, langkah tersebut merupakan satu-satunya cara untuk mengelakkan situasi 'kejar-mengejar' apabila remaja berpindah ke aplikasi baharu bagi mengelakkan larangan berkenaan.

Meta mendakwa ibu bapa dan pakar bimbang larangan itu boleh mengasingkan golongan muda daripada komuniti dalam talian, selain mendorong mereka ke aplikasi yang kurang dikawal selia serta ke bahagian internet yang lebih berisiko.

Kata Meta, impak awal perundangan itu menunjukkan ia tidak mencapai objektif untuk meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan golongan muda Australia.

Sambil menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan piawaian industri dalam menentukan umur pengguna secara dalam talian, Meta berkata pematuhannya terhadap undang-undang Australia akan melibatkan proses berbilang lapisan.

Sejak larangan itu dilaksanakan, syarikat yang berpangkalan di California tersebut berkata ia telah membantu menubuhkan OpenAge Initiative, sebuah organisasi bukan keuntungan yang telah melancarkan alat pengesahan umur dikenali sebagai AgeKeys untuk digunakan oleh platform yang mengambil bahagian. - AFP