KLANG – West Coast Expressway Sdn Bhd (WCE) menafikan dakwaan penggunaan kekerasan dan pengusiran paksa ke atas penduduk Kampung Jawa di sini susulan pelaksanaan projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).Dalam satu kenyataan, syarikat itu menjelaskan bahawa kekeliruan yang timbul berpunca daripada segelintir pemilik tanah yang enggan mengosongkan kawasan telah diambil secara sah oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.Menurut WCE, pampasan berjumlah RM9.8 juta telah diluluskan pada 30 September 2023 bagi pengambilan tanah Lot 15762 (11113) dan sebanyak RM7.4 juta atau 75 peratus daripada jumlah itu telah pun dibayar kepada 33 pemilik tanah.Daripada jumlah itu, seramai 14 pemilik menerima pampasan secara terus manakala 19 lagi melalui peguam yang dilantik.“Berdasarkan Seksyen 16 Akta Pengambilan Tanah 1960, setelah 75 peratus pampasan dibayar dan Borang K dikeluarkan, pemilikan tanah berpindah sepenuhnya kepada kerajaan dan pemilik tidak lagi mempunyai hak undang-undang ke atas tanah tersebut,” menurut kenyataan itu.WCE turut menjelaskan bahawa bantahan terhadap jumlah pampasan yang difailkan oleh pemilik tanah menggunakan Borang N tidak menghalang kerajaan daripada mengambil alih tanah berkenaan.“Prosiding mahkamah hanya membabitkan penentuan jumlah akhir pampasan dan tidak menjejaskan hak kerajaan untuk meneruskan pengambilan dan pembangunan tanah,” katanya.Tambah kenyataan itu, walaupun pampasan telah dibayar sejak tahun lalu, masih terdapat pemilik tanah yang enggan berpindah sehingga menyebabkan kelewatan pembinaan lebuh raya berkenaan.WCE menegaskan bahawa projek infrastruktur itu adalah penting kerana bakal menghubungkan beberapa lebuh raya utama seperti Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Grand Sepadu yang memberi manfaat besar kepada pengguna.Mengenai dakwaan kehadiran individu tidak dikenali pada waktu malam serta penggunaan kekerasan, syarikat itu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.“Semua kerja di tapak hanya dijalankan oleh kontraktor berdaftar dan diberi kuasa, mengikut waktu yang dibenarkan iaitu dari jam 8 pagi hingga 6 petang,” kata syarikat itu lagi.Sehubungan itu, WCE menggesa semua pihak supaya menghormati proses undang-undang dan tidak menyebarkan maklumat mengelirukan yang boleh mengganggu pemahaman awam mengenai projek berkenaan.Syarikat itu turut memberi jaminan akan terus komited mematuhi peruntukan undang-undang serta tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika reputasinya terjejas.Ends
WCE nafi guna kekerasan dalam isu pengambilan tanah penduduk Kampung Jawa
Iklan
Tangkap layar laporan Sinar Harian berhubung dakwaan penduduk Kampung Jawa pada Khamis.