Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) 2023 menandakan perubahan penting dalam usaha Malaysia mencapai ekonomi rendah karbon. Dengan matlamat pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050, pelan ini menekankan penggunaan tenaga boleh baharu, khususnya tenaga solar fotovoltaik.
Salah satu strategi paling inovatif dalam transformasi ini ialah agrivoltaik, iaitu penggunaan tanah bagi tujuan pertanian dan penjanaan tenaga solar secara serentak. Panel solar dipasang di atas kawasan tanaman atau ternakan, membolehkan penggunaan tanah secara berganda selaras dengan matlamat kelestarian NETR.
Malaysia menyasarkan peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu kepada 70 peratus menjelang 2050, dan potensi solar PV dianggarkan mencecah 269 GW. Namun, pembangunan ladang solar besar berhadapan kekangan tanah.
Agrivoltaik menyelesaikan isu ini dengan membenarkan aktiviti pertanian dan tenaga berlaku pada kawasan yang sama tanpa mengorbankan keselamatan makanan atau mata pencarian luar bandar.
NETR mengiktiraf agrivoltaik sebagai keutamaan strategik dengan mencadangkan penghapusan halangan peraturan, penyediaan garis panduan teknikal dan kategori bidaan khas dalam program solar berskala besar.
Ia turut merangkumi pembangunan rangka kerja Akses Pihak Ketiga dan hab pertukaran tenaga untuk menyokong penjualan tenaga agrivoltaik.
Agrivoltaik menyumbang kepada keselamatan makanan dan tenaga. Ia melindungi tanaman daripada haba berlebihan serta mengurangkan penyejatan air. Dalam masa sama, ia meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu di kawasan luar bandar.
Selain itu, agrivoltaik mampu merangsang ekonomi luar bandar melalui penciptaan pekerjaan hijau, pendapatan tambahan dan keusahawanan komuniti. Model seperti NOVA boleh dijadikan inspirasi bagi pelaksanaan skim agrivoltaik berasaskan komuniti.
Malaysia yang sudah menjadi hab pembuatan komponen PV boleh memanfaatkan peluang ini untuk memperkenalkan teknologi seperti panel dua sisi (bifacial), sistem pintar berasaskan AI dan pertanian pintar. NETR menjangka potensi pelaburan bernilai sehingga RM1.3 trilion menjelang 2050.
Agrivoltaik juga menyokong pengurangan pelepasan gas rumah kaca dalam sektor tenaga sebanyak 32 peratus menjelang 2050 dan menyumbang kepada kelestarian tanpa menjejaskan alam semula jadi.
Namun, pelbagai cabaran perlu diatasi termasuk kekurangan kesedaran, isu klasifikasi tanah dan kekangan modal dalam kalangan pekebun kecil. NETR memberi asas untuk menangani isu ini melalui dasar, pelaburan dan kerjasama antara pihak berkepentingan.
Walaupun disebut dalam NETR, agrivoltaik masih kekurangan pelan tindakan khusus. Justeru, kerajaan digesa merangka pelan nasional agrivoltaik bersama kementerian berkaitan. Ini termasuk peruntukan khas belanjawan, latihan teknikal kepada petani serta insentif fiskal kepada pelabur.
Teknologi solar terapung juga boleh dilaksanakan sebagai pelengkap, terutama di kawasan kolam, tasik dan bekas lombong. Sistem ini mampu mengurangkan penyejatan air serta menyokong akuakultur secara serentak.
Negara seperti Perancis, Jerman dan Jepun telah menunjukkan kejayaan agrivoltaik melalui peningkatan hasil pertanian dan tenaga.
Malaysia mempunyai potensi iklim tropika dan kawasan luar bandar yang sesuai untuk menjadikan agrivoltaik sebagai strategi utama.
Kesimpulannya agrivoltaik ialah penyelesaian strategik yang menggabungkan tenaga, pertanian dan pembangunan luar bandar. Melalui NETR, asas telah tersedia, tetapi tindakan perlu diperkukuh. Kini masanya kerajaan dan rakyat bersama melangkah ke hadapan bagi memanfaatkan potensi agrivoltaik sepenuhnya dalam menjamin masa depan yang mampan.
Ir Dr Mohd Sofwan Mohd Resali merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Beliau juga Felo Penyelidik, Pusat Kecemerlangan Tenaga Boleh Baharu (CERE).