Subsidi gula: Beban fiskal yang tidak boleh disenyapkan

Iklan
Gula bukan sekadar barangan dapur, ia adalah komoditi yang membekalkan tenaga kepada keseluruhan rantaian ekonomi. Gambar kecil: Syirfan Indra

KITA terlalu lama berpaut pada mitos bahawa harga gula murah adalah tanda kejayaan dasar negara. Bahawa RM2.85 atau RM2.95 sekilogram itu bukti kerajaan melindungi rakyat.

Tetapi angka itu tidak pernah menceritakan keseluruhan cerita. Di belakang sekilogram gula murah, ada kos setengah bilion ringgit setahun yang dibayar negara. Ada struktur industri yang tidak seimbang. Ada dasar yang bercanggah dan ada realiti ekonomi yang semakin keras mengetuk pintu.

Iklan
Iklan

Dasar lama sudah tidak cukup untuk menampung hakikat baharu. Sejak 2020, kos pengeluaran gula tempatan telah melambung secara mendadak.

Harga gula mentah meningkat lebih 60 peratus, kos penghantaran (freight) melonjak 70 peratus, dan turun naik nilai mata wang (forex) menambah 9 peratus lagi beban. Semua kos lain, termasuk pemprosesan, pentadbiran dan pengedaran turut meningkat.

Iklan

Dalam keadaan ini, pengilang tempatan seperti MSM terpaksa membekalkan gula pada harga siling tetap yang jauh di bawah kos sebenar. Jurang hampir RM1 antara kos sebenar dan harga siling bukan jurang biasa. Ia lompong besar yang ditampung kerajaan tanpa henti.

Tanpa insentif kerajaan, operasi pengilang-pengilang tidak mampu diteruskan, mengancam bekalan tempatan. Insentif RM500 juta setahun bukanlah ganjaran, tetapi langkah sementara untuk mengelakkan gangguan bekalan tempatan dan mengekalkan kemampuan rakyat dan perniagaan untuk mendapatkan gula.

Iklan

MSM sebagai pengeluar gula terbesar negara berada di barisan hadapan tekanan ini. Ia bukan semata-mata syarikat komersial; ia sebahagian daripada sistem keselamatan makanan negara.

Dengan dua juta tan setahun kapasiti pengeluaran, MSM memastikan Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada pasaran luar yang tidak menentu.

Malah, sebelum insentif diperkenalkan, pengilang seperti MSM sudah pun menanggung kerugian demi memastikan akses berterusan rakyat kepada gula yang selamat dan berkualiti.

Lebih meresahkan, negara menggalakkan pengurangan pengambilan gula melalui cukai minuman bergula, tetapi mengekalkan gula sebagai komoditi paling murah melalui subsidi besar. Ini paradoks dasar yang tidak boleh lagi dibiarkan.

Tidak ada dasar kesihatan yang akan berjaya jika dasar ekonomi menidakkan prinsip asasnya.

Realiti ini lebih ketara apabila dilihat dari perspektif serantau. Harga runcit gula di Malaysia (RM2.85/kg) adalah yang terendah di Asia Tenggara - jauh ketinggalan berbanding Indonesia (RM5.80/kg) dan Filipina (RM9.00/kg).

Perbezaan drastik ini menggambarkan besarnya beban subsidi yang ditanggung oleh fiskal negara, semata-mata untuk mengekalkan harga yang tidak realistik.

Malah, sorotan terkini tentang pengambilan gula menjadikan ia lebih mustahak untuk kerajaan mengkaji semula harga siling semasa.

Membenarkan pengilang menjual pada harga yang lebih hampir dengan kos sebenar, sama ada melalui kenaikan terkawal atau mekanisma harga terapung, akan menghapuskan keperluan untuk insentif yang besar.

Langkah ini juga secara semula jadi akan menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan gula secara lebih berhemah, yang selari dengan matlamat kesihatan awam.

Malaysia tidak boleh bergantung pada import sebagai pengganti. Gula import mengikut trend harga global, yang naik dan turun dengan mendadak. Bergantung terlalu banyak kepadanya mendedahkan kita kepada kejutan kos yang mengejut.

Tambahan pula, timbul kebimbangan sahih tentang pengesahan halal. Pengilang tempatan seperti MSM mengikut piawaian ketat, manakala gula import tidak selalu menawarkan jaminan yang sama.

Bagi sebuah negara yang mana pengeluar makanannya sangat bergantung kepada pematuhan halal, ini bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.

Dalam keadaan ini, wujud satu kesedaran yang kini sukar dielakkan: subsidi bukan mekanisma kebajikan, tetapi penampan dasar yang sudah terlalu lama ditampal.

Felda, sebagai pemegang saham utama MSM melalui FGV dan KPF dengan pegangan sebanyak 66.28 peratus, memahami betapa pentingnya kestabilan industri ini.

Setiap turun naik industri bukan sekadar memberi kesan kepada harga gula; ia menggoncang ekosistem Felda daripada kedudukan kewangan FGV hinggalah kesejahteraan peneroka di tanah rancangan. Sebab itu reformasi dasar bukan pilihan. Ia keperluan.

Apa yang perlu dilakukan?

Pertama, subsidi mesti dimasukkan ke era baharu iaitu subsidi bersasar, bukan subsidi pukal yang bocor ke tangan industri besar. Golongan berpendapatan rendah harus terus dilindungi, tetapi kita tidak boleh terus menanggung subsidi yang sebahagian besarnya tidak sampai kepada mereka.

Kedua, negara tidak boleh terus “mengikat harga” tanpa mengikat realiti pasaran. Kita tidak perlu terlalu risau tentang membenarkan harga terapung terkawal. Malaysia pernah melakukannya untuk barang keperluan lain seperti telur dan ayam. Walaupun ada kebimbangan awal, bekalan stabil dan pasaran menyesuaikan diri tanpa gangguan besar kepada pengguna.

Contoh ini menunjukkan bahawa dengan pengurusan peralihan yang betul, harga terapung boleh berfungsi dengan lancar.

Ketiga, negara perlu melaksanakan insentif yang bijaksana. Dengan menghapuskan insentif atau subsidi tanpa menangani harga siling yang ketinggalan zaman akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Insentif semasa sebanyak RM1/kg untuk gula pasir kasar dan halus, yang diterima MSM untuk 24,000 tan metrik sebulan, hanya sekadar meletakkan industri pada tahap pulang modal. Sokongan sementara perlu dikekalkan seiring dengan pelaksanaan reformasi akar umbi bagi memastikan kestabilan industri semasa transisi.

Keempat, industri sendiri, khususnya MSM perlu memanfaatkan reformasi dasar sebagai peluang memperkukuh struktur operasi. Automasi, penyusunan logistik, dan teknologi moden bukan lagi pilihan, tetapi komponen strategik untuk menjadikan industri lebih tahan kejutan global.

Tetapi lebih penting daripada semua itu ialah kejujuran dasar. Kita tidak boleh lagi berpura-pura bahawa harga murah ialah kemenangan. Kemenangan sebenar ialah dasar yang seimbang. Dasar yang tidak memusnahkan fiskal negara, tidak menafikan realiti pasaran serta tidak memerangkap industri dalam tekanan struktur yang mustahil ditanggung.

Gula bukan sekadar barangan dapur. Ia adalah komoditi yang membekalkan tenaga kepada keseluruhan rantaian ekonomi dari makanan, perhotelan, pembuatan, industri kecil malah peruncitan. Jika dasar gula gagal, kesannya memantul ke seluruh sektor.

Di tengah-tengah persimpangan ini, Felda - MSM bukan hanya peserta industri. Ia adalah komponen utama strategi negara. Menjaga MSM bukan soal menjaga syarikat; ia soal menjaga bekalan negara, kestabilan komuniti peneroka, dan masa depan keselamatan makanan nasional.

Kita sudah tiba pada satu titik di mana kerajaan tidak lagi boleh menangguhkan keputusan. Dasar lama tidak dibina untuk era kos global seperti hari ini.

Subsidi lama tidak dibina untuk fiskal negara yang semakin terhad dan struktur industri lama tidak dibina untuk dunia yang berubah setiap bulan.

Jika reformasi tidak dilakukan sekarang, kita akan terus mengisi jurang harga yang semakin melebar, membakar ratusan juta ringgit setiap tahun dan tetap berada dalam paradoks dasar yang memerangkap negara antara dua tujuan yang bercanggah.

Reformasi dasar gula bukan sekadar perlu malah ia wajib. Ia adalah peluang untuk menamatkan kitaran lama dan memulakan set keseimbangan baharu yang lebih jujur, lebih mampan, dan lebih realistik.

Dengan Felda-MSM sebagai terasnya, Malaysia mampu membina dasar gula yang tidak lagi murah di rak kedai tetapi mahal untuk negara, juga adil untuk semua pihak - pengilang, pengguna, dan fiskal negara.

*Syirfan Indra Mitra Surya Hussin ialah penyelidik dalam bidang media dan komunikasi, dengan kepakaran yang memfokuskan kepada kewartawanan baharu, komunikasi strategik dan industri kreatif