JOHOR BAHRU - Johor berjaya menghasilkan 33,000 peluang pekerjaan baharu, meningkatkan pemindahan teknologi dan kepakaran serta mengukuhkan daya saing ekonomi negeri berikutan berjaya menarik pelaburan berkualiti tinggi dan berteknologi maju. Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata selain itu, peranan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dalam menarik pelaburan juga semakin ketara hasil daripada insentif pelaburan yang kompetitif serta kedudukan strategik Johor yang berdekatan Singapura. "Zon ini menjadi pemangkin utama dalam merancakkan ekonomi dan memperkukuh hubungan perdagangan antarabangsa, sekali gus memberi manfaat kepada empat juta Bangsa Johor," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Khamis. Semalam, media melaporkan Johor mencatatkan prestasi pelaburan tertinggi di Malaysia bagi suku pertama 2025 dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM30.1 bilion yang menjadikan negeri itu sebagai peneraju utama pelaburan negara.
Johor akan terus maju sebagai pusat pelaburan bertaraf antarabangsa.