Mahkamah perintah 'gag order' kes saman fitnah Fara Mendoza terhadap Anju

Iklan
Fara Mendoza (kiri) dan Anju hadir ke mahkamah pada prosiding perbicaraan kes saman fitnah.

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) bagi menghalang kedua-dua pihak, plaintif dan defendan, daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes saman fitnah yang difailkan oleh Norfaralinah Md Yunus atau Fara Mendoza terhadap pelakon Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul.Perintah itu dikeluarkan Hakim, Norina Zainol Abidin selepas perbicaraan kes tersebut bermula dengan dua saksi dipanggil memberi keterangan termasuk Fara Mendoza, 37.

Bagaimanapun, prosiding perbicaraan yang bermula sekitar jam 10 pagi dan berakhir pada 4.30 petang berlangsung secara tertutup.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, Zarina Anjoulie atau Anju, 38, ketika ditemui di luar mahkamah, menyatakan harapan agar kes yang berlarutan sejak empat tahun lalu itu dapat diselesaikan segera.

"Dah empat tahun kes ini dan kita pun nak ia berakhir, kita tengok macam mana dan berdoa yang terbaik," katanya ringkas.

Iklan

Fara Mendoza yang diwakili Tetuan Rejinder Singh & Associates turut hadir ke mahkamah.

Perbicaraan kes tersebut dijadualkan bersambung pada 24 Julai dan 4 Ogos depan.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan bahawa Anju berjaya membatalkan penghakiman yang dimasukkan oleh Fara Mendoza di Mahkamah Tinggi Seremban.

Ia susulan dakwaan bahawa Anju tidak menerima salinan saman secara peribadi dan menyangka peguam terdahulu yang dilantik telah menguruskan perkara tersebut. Difahamkan, peguam berkenaan telah diserang angin ahmar dan firma guamannya telah ditutup.

Susulan itu, Anju memfailkan tuntutan balas terhadap saman Fara Mendoza.

Anju menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, serta satu perintah injunksi bagi menghalang Fara Mendoza daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah pada masa hadapan.

Selain itu, Anju turut menuntut agar Fara Mendoza menarik balik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

Dia juga menuntut kos tindakan serta sebarang relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.