Pemandu Perodua Bezza rempuh dua wanita di lampu isyarat direman tujuh hari

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Khamis.

TEMERLOH - Pemandu kereta Perodua Bezza yang terlibat dalam kemalangan di lampu isyarat di sini sehingga mengorbankan dua wanita dan penemuan dadah dalam kenderaan tersebut direman tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, perintah tahanan reman dikeluarkan Majisret Khamisah Ismail selepas suspek iaitu lelaki berusia 38 tahun itu dihadapkan ke Mahkamah Temerloh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, motosikal Yamaha Ego Avantiz yang ditunggang Nur Erdina Shaffiya Muhammad Nazri,18, dan pemboncengnya, Aneez Irdiena Sofya Khairul Azman,18, dirempuh kereta dipandu suspek ketika berhenti di lampu isyarat di Jalan Tengku Ismail di sini pada Rabu.

Iklan

Ujar Mazlan, kemalangan menyebabkan kedua-dua wanita itu yang dalam perjalanan keluar makan bersama disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan itu dari arah Mentakab menghala ke arah bulatan Bukit Angin.

Iklan

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal tersebut telah berhenti kerana lampu isyarat merah manakala kereta itu tidak berhenti di lampu isyarat dan melanggar belakang motosikal terbabit.

"Akibat kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya lagi.

Ujarnya, pemeriksaan lanjut di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh kira-kira jam 12.30 tengah malam menemui satu peket plastik lut sinar berisi dadah disyaki syabu anggaran seberat 50.85 gram di bahagian tempat duduk belakang kereta suspek.

"Turut ditemui dua peket plastik lut sinar disyaki heroin, dianggarkan seberat 0.85 gram.

"Nilai rampasan dadah keseluruhan, RM6,110 dan turut disita wang tunai RM500 dan hasil ujian saringan awal air kencing pemandu itu didapati negatif," tambahnya.