KPKM rangka strategi hadapi Monsun Barat Daya

Iklan
Mohamad Sabu (tengah) ketika sidang akhbar sempena majlis pra pelancaran HPPNK 2025 pada Rabu - FOTO: SINAR HARIAN / ROSLI TALIB

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang merangka pelbagai strategi bagi memastikan sektor pertanian negara kekal mampan dan tidak terjejas ketika berdepan Monsun Barat Daya yang kini melanda negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perubahan cuaca yang semakin ketara pada masa ini memerlukan perancangan rapi termasuk menyusun semula jadual tanaman serta memperluas kawasan pengeluaran hasil pertanian ke negeri-negeri yang berpotensi seperti Sabah dan Sarawak.

Iklan
Iklan

“Kita tak boleh lagi bergantung kepada satu-satu kawasan sahaja untuk pengeluaran hasil. Perubahan iklim dan ancaman cuaca yang berbeza di setiap negeri memerlukan kita mempelbagaikan sumber.

“Kalau di Pantai Timur berlaku banjir besar, mungkin Pantai Barat atau Sabah dan Sarawak tidak terjejas.

Iklan

“Sebab itu kita mahu jadikan Sabah dan Sarawak sebagai pengeluar utama beras dan hasil pertanian pada masa hadapan,” katanya dalam sidang akhbar sempena majlis pra pelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di sini, pada Rabu.

Menurutnya, kementerian sentiasa memantau bekalan dan serangan penyakit bagi memastikan keterjaminan makanan terpelihara.

Iklan

“Setakat ini, ternakan ayam, telur dan hasil utama lain berada dalam keadaan baik serta tidak terjejas dengan serangan penyakit besar tahun ini.

“Kalau berlaku serangan di luar kawalan seperti penyakit ternakan babi di Sepang dan Kuala Langat, kita akan ambil tindakan segera termasuk pemusnahan ternakan yang terlibat,” katanya.

Beliau menambah, jadual tanaman padi juga sentiasa disusun semula berdasarkan ramalan cuaca dan perubahan iklim semasa bagi memastikan pengeluaran hasil tidak terjejas.

“Kita sentiasa berusaha membuat penyesuaian dalam semua aspek supaya sektor pertanian negara terus terjamin meskipun berdepan cabaran cuaca,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Isham Ishak dan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar.