SHAH ALAM - Setelah satu akaun di Facebook yang berkongsi gambar gadis bawah umur sebagai bahan perbualan berjaya dilenyapkan hasil ‘kuasa’ warganet, kini muncul lagi akaun yang didakwa menawarkan aktiviti mencurigakan.
Pempengaruh, Reina Lum dalam perkongsian di TikTok mendedahkan, pihaknya mendapat maklumat tentang kewujudan akaun ‘Upskirt Melayu’ yang aktif di Threads, Instagram dan TikTok.
Menurutnya, maklumat itu diberikan oleh seorang rakannya yang juga jurugambar dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan akaun berkenaan yang menawarkan sesi fotografi aksi seksual pada harga RM500.
“Paling menakutkan ialah mereka bukan merekrut model dan mempromosikan ‘page’ ini di dalam ‘darkweb’ tapi mereka lakukannya dekat threads, instagram, TikTok.
“Dalam threads itu, kita boleh lihat sendiri siapa yang mereka sasarkan. Mereka akan tawar RM500 sahaja untuk budak-budak perempuan ini buat sesi fotografi dengan alasan profesional.
“Saya nak tegaskan, ini adalah salah dan mengambil kesempatan keatas anak-anak muda dan budak perempuan. Mereka tawarkan RM500 sahaja sebab tidak sasarkan model tapi disebabkan ada yang betul-betul memerlukan duit, mereka ambil kesempatan darinya,” jelas Reina.
Lebih mengejutkan, Reina memberitahu bahawa pemilik akaun itu juga memberikan jaminan untuk melindungi privasi mereka yang menerima tawaran itu dan akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menukarkan wajah.
Tegasnya, ia adalah satu kesalahan besar dan memberikan impak negatif jika wajah yang ditukar itu mirip individu lain.
“Apa jaminan yang mereka tidak akan gunakan gambar itu untuk mengugut awak pada masa depan? Jadi, kita kena sebarkan maklumat ini.
“Lagi lantang kita bersuara, lagilah pihak berkuasa tidak boleh abaikan benda-benda ini berlaku. Mereka kena bertindak,” katanya.
Sinar Harian cuba mengakses akaun yang dimaksudkan di media sosial, namun ia sudah hilang dan tidak dapat diakses.
Sebelum ini, pempengaruh media sosial, Wee Yu Nee atau popular dikenali sebagai Mekyun meluahkan rasa kecewa dan marah selepas mengetahui gambarnya ketika zaman sekolah telah dimuat naik dalam satu group Facebook tanpa sebarang kebenaran.
Difahamkan, group tersebut banyak berkongsi gambar gadis bawah umur sebagai bahan perbualan dan lebih menjijikkan, ada ahlinya yang meninggalkan komen berunsur lucah.
Bagaimanapun, group Facebook yang sebelum ini dikecam ramai itu kini didapati sudah tak boleh diakses lagi.