TANGKAK - Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh seorang polis trafik yang sedang menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu di lorong kecemasan di kilometer 107.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, maklumat berkenaan kejadian diterima pada jam 2.07 petang.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal tersebut telah terlanggar seorang pegawai polis yang sedang membuat pemeriksaan ke atas seorang lelaki di lorong kecemasan.
"Pegawai polis berkenaan dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kemalangan tersebut menyebabkan pegawai polis dan penunggang terbabit mengalami kecederaan sebelum dikejarkan ke Hospital Jasin, Melaka untuk mendapatkan rawatan.
"Penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang menunggang motosikal Suzuki DL650XA meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Jasin.
"Kemalangan tersebut katanya, hanya melibatkan motosikal mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Zamil Azwa Amir Azwa 019-3058346 bagi membantu siasatan.